Rabu, 27 September 2017

VIDEO PEGAWAI POLIS ‘PAYUNG’ PENGUSAHA JUDI DISIASAT

Polis Johor akan menjalankan siasatan berhubung video tular yang mengaitkan PENGLIBATAN SEORANG PEGAWAI POLIS DI NEGERI INI DENGAN PENGUSAHA JUDI.
Ketua polis Johor Datuk Mohd Khalil Khader Mohd berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada sekiranya terbukti kesahihan terhadap pegawai yang terlibat seperti didakwa.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah mengutarakan video klip itu. Siasatan segera secara terperinci dan telus akan dijalankan ke atas dakwaan tersebut dan ditegaskan pihak polis tidak akan berkompromi di atas kecuaian pegawai serta anggotanya dalam memartabatkan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini yang dihadiri naib pengerusi kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan pengerusi MCPF Johor Datuk Freddie Long Hoo Hin.
Video berdurasi kira-kira empat minit itu mendakwa pusat judi di negara ini dipayungi polis manakala terdapat seorang pegawai polis di sebuah daerah di negeri ini turut bersekongkol dengan pengusaha judi.

Mohd Khalil berkata beliau sudah berjumpa dengan semua Ketua Polis Daerah di negeri ini berhubung penekanan terhadap kegiatan judi di seluruh Johor.
Beliau berkata operasi terhadap perjudian sudah dijalankan berterusan sejak dua minggu lepas sehingga hari ini bagi membanteras kegiatan terbabit.
Sementara itu, mengenai hasil mesyuarat berkenaan, Mohd Khalil berkata pihaknya dan MCPF akan menumpukan usaha menangani masalah jenayah jalanan di negeri ini dan meningkatkan penglibatan pihak sekolah dalam program pencegahan jenayah.
Lee pula berkata jenayah jalanan dan dadah menjadi tumpuan pihaknya untuk diatasi memandangkan kebanyakan mereka yang terlibat dalam jenayah jalanan merupakan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Jenayah jalanan merupakan masalah yang dihadapi semua negara. Kekurangan pengawasan ibu bapa terhadap anak mereka merupakan isu besar yang menyumbang kepada jenayah jalanan seperti samun berkawan tanpa senjata api dan ragut,” katanya.
Beliau berkata menurut statistik yang dikeluarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), jumlah kes direkodkan tahun lepas melibatkan penyalahgunaan dadah membabitkan remaja ialah 826 kes dan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 193 kes.
“Bagi golongan belia iaitu berumur 19 hingga 39 tahun adalah sebanyak 22,709 kes manakala golongan dewasa berumur 40 hingga 50 tahun adalah 7,309 kes direkodkan pada tahun lepas.
“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, golongan belia pula merekodkan 7,416 kes manakala golongan dewasa sebanyak 2,608 kes,” katanya.


Sumber:  KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...