Rabu, 15 November 2017

APLIKASI VOLUNTEER SMARTPHONE PATROL (VSP) MEMBERI BANYAK MANFAAT

KUALA TERENGGANU – Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilancarkan Mac lalu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat negeri ini dengan sebahagian besar maklumat di lapor melibatkan lokasi atau ‘port’ dadah.

Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti, Asisten Komisioner Redzuan Abd Hamid berkata, selain jenayah itu, terdapat juga maklumat jenayah lain seperti perlanggaran trafik, kegiatan lumba haram serta gangguan seksual melalui panggilan telefon.

“Sebanyak 80 peratus maklumat yang diterima menerusi VSP melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah itu yang dilihat agak kerap dilaporkan oleh pengguna yang telah mendaftar dan memuat turun aplikasi itu.

“Berkenaan kes gangguan seksual menerusi panggilan telefon, kita telah mengenal pasti pemilik nombor berkenaan dan tindakan telah diambil,” katanya pada sidang media selepas Program Crime Awareness Day Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bersama Masyarakat Tiong Hua di Kampung Cina, di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar serta Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata, sejak aplikasi itu dilancarkan tujuh bulan lalu, sebanyak 50 hingga 60 peratus maklumat jenayah diterima menerusi laporan VSP.

“Kita berpuas hati kerana aplikasi ini beri kesan dalam bantu tangani jenayah dan pencegahan, kebanyakan ahli yang daftar beri maklum balas segera sekiranya berdepan dengan sesuatu isu atau perlakuan jenayah.

“Jadi, kita harap masyarakat akan berterusan bantu kita dengan menggunakan aplikasi ini untuk salurkan maklumat. Kita juga akan berusaha untuk menambahkan lagi bilangan ahli yang mendaftar sehingga mencapai sasaran sebanyak 50,000 ahli sehingga hujung tahun ini bagi negeri Terengganu,” katanya.

Sehingga kini, katanya, seramai 41,020 ahli yang telah mendaftar dan memuat turun aplikasi VSP di seluruh Terengganu menjadikan keseluruhan ahli mencecah 835,000 bagi seluruh negara.

“Pihak PDRM menyasarkan keahlian seluruh negara mencecah sejuta ahli menjelang hujung tahun ini dan kita yakin mampu mencapai angka itu,” katanya.

Aplikasi VSP dibangunkan bagi menaik taraf aplikasi Rakan Cop kepada pengguna telefon pintar bagi menyalurkan sebarang bentuk jenayah sama ada melalui video, gambar atau pesanan ringkas (SMS) kepada pihak polis bagi membantu mencegah dan menangani jenayah di seluruh negara.


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...