Khamis, 11 Januari 2018

DUA PENJENAYAH WARGA ASING CUBA ROMPAK PASAR RAYA DITEMBAK MATI

MELAKA: Dua penjenayah warga asing ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis dalam satu cubaan pecah masuk sebuah pasar raya di Bandar Baru Sungai Udang, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, suspek masing-masing dipercayai warga asing berusia lingkungam 30-an mati di tempat kejadian manakala seorang lagi rakan mereka dapat melarikan diri ke kawasan semak berhampiran pasar raya tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hasan berkata, seorang suspek bersenjata pistol itu terlebih dahulu melepaskan beberapa das tembakan manakala seorang lagi melibas parang ke arah pihak polis biarpun telah diberi amaran.

“Hasil risikan dan maklumat awam, polis telah melakukan rondaan di tempat kejadian dan mendapati tiga suspek itu menaiki sebuah kereta jenis Honda City tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di kawasan pasar raya terbabit.


“Pihak polis telah mengejar dan mengepung kawasan itu selain memberi amaran supaya menyerah diri namun tidak diendahkan sebaliknya mereka melepaskan tembakan serta melibas parang ke arah pasukan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini sebentar tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati penjenayah terbabit dipercayai terlibat dalam jenayah ‘Op Tebuk’ dan aktif melakukan pecah masuk dan samun di kedai emas dalam pasar raya dan kilang di beberapa negeri antaranya Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Melaka.

“Polis turut menemukan beberapa senjata berbahaya di dalam kereta seperti parang dan senjata tajam lain serta sejumlah wang yang belum dianggarkan nilainya,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Tambah Abd. Jalil, kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...