Isnin, 2 April 2018

'DATUK SERI' ANTARA EMPAT DITAHAN TIPU DARJAH KEBESARAN, PROJEK


EMPAT INDIVIDU termasuk seorang lelaki yang MENYAMAR SEBAGAI 'DATUK SERI' ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan penjualan darjah kebesaran Wilayah Persekutuan dan menawarkan projek yang tidak wujud membabitkan kerugian sebanyak RM1.6 juta.

Kesemua suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 65 itu ditahan dalam serbuan DI SEBUAH BANGLO DI MONT BLEU RESIDENCE di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, tangkapan terhadap kumpulan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang pengawal keselamatan di perumahan berkenaan yang mendakwa dikasari oleh salah seorang suspek pada 11 Mac lalu.

“Suspek yang mendakwa 'ORANG KUAT' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mencederakan mangsa menggunakan senjata api sehingga mendapat kecederaan di dahi.

“Berikutan itu siasatan dijalankan bagi memburu dan mengesan suspek yang terlibat sebelum berjaya memberkas kesemua mereka yang masing-masing berasal dari Perak, Johor dan Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini. 

Tambah Hasnan, siasatan lanjut yang dilakukan terhadap suspek mendapati mereka terlibat dalam 11 kes jenayah dan penipuan di Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor membabitkan kerugian sehingga RM1.6 juta

“Modus operandi kumpulan yang didalangi seorang lelaki berusia 31 tahun itu ialah  menyamar sebagai Datuk Seri dan menggunakan nama orang kenamaan dengan menawarkan projek yang tidak wujud di Langkawi, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kumpulan itu juga didapati menawarkan urusan mendapatkan darjah kebesaran, bintang dan pingat Yang di-Pertuan Agong palsu,” katanya. - K! ONLINE


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...