
IPOH - Percutian seorang warga Jerman ke negara ini bertukar tragedi apabila cedera ketika disamun dua lelaki di sebuah lorong dekat pekan lama, awal pagi semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Michael, 28, baru selesai menelefon rakannya, bagi memaklumkan kehadirannya di bandar raya ini sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.
Berdasarkan keterangan rakannya, R Ravi 31, salah seorang lelaki berkenaan cuba merentap beg Michael dengan memotong tali begnya menggunakan pisau.
Katanya, apabila menyedari situasi berkenaan Michael cuba menghalang cubaan berkenaan hingga mengakibatkan berlakunya pergelutan sesama mereka hingga mengakibatkan dirinya cedera.