KOTA BHARU - “Saya nekad kejar dua perompak itu, walaupun dalam keadaan parah kerana ingin menyelamatkan wang, dan barangan berharga dalam kedai,’’ kata Mohd Firdaus Abdullah, 23, yang parah ditetak dalam kejadian rompak dan tetak di Kubang Kerian, kelmarin.
Dalam kejadian petang kelmarin, Mohd Firdaus yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan cuba mengejar dua lelaki yang melarikan sejumlah wang tunai, komputer riba, jam dan beberapa barangan runcit dalam kedai milik ibu saudaranya itu.
“Ketika itu saya langsung tidak endah tentang diri saya, yang penting saya nak dapatkan semula barangan berharga yang diambil dua lelaki itu.
“Kedua-duanya yang datang menaiki motosikal, tidak mencabut topi keledar yang dipakai mereka, malah masuk ke dalam kedai dalam keadaan tergesa-gesa dan bertanyakan mengenai rempah kari sama ada terdapat di kedai milik ibu saudara saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, semalam.
Firdaus berkata, sejak empat bulan menjaga kedai terbabit, dia tidak pernah nampak kelibat kedua lelaki itu datang ke kedai berkenaan.