KUALA LUMPUR 1 Julai - Banglo dua tingkat milik Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Tan Sri Rahim Thamby Chik di Jalan Medang, Taman Bukit Pantai di sini dipecah masuk penjenayah malam tadi.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan lebih daripada dua penjenayah ketika ketiadaan Rahim dan ahli keluarganya yang dikatakan sedang bercuti.
Bagaimanapun, ia disedari dua ahli keluarga Rahim yang pulang ke rumah itu kira-kira pukul 9 malam.
Suspek dikatakan memotong kawat besi sebelum memanjat pagar di belakang banglo itu dan memotong pula jeriji besi di tingkap dapur untuk memasuki kediaman tersebut.
Difahamkan, suspek hanya sempat memasuki dua bilik termasuk bilik utama di banglo itu dan salah satu pintu bilik itu telah diumpil kerana dikunci dari dalam.