
Kota Baharu, 22 Mac - "Saya berazam untuk kembali ke kawasan Operasi Daulat selepas sembuh nanti," kata L/Kpl Mohd Zariman Ibrahim yang cedera ketika bertempur dengan militan dari selatan Filipina di Sungai Nyamuk di Lahad Datu, Sabah 10 Mac lepas.
Mohd Zariman, 31, dari Batalion ke-12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dari Sabah pada 4 petang tadi.
Ketibaan beliau yang diiringi bapa, Ibrahim Abdullah, 55, dan ibu, Noraini Mohamad, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut kira-kira 500 orang yang memenuhi kawasan lapangan terbang itu sambil lagu patriotik dimainkan pasukan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.