Selasa, 24 September 2013

PENGANGGUR 17 TAHUN DIREMAN, BANTU SIASATAN KEMATIAN POLIS DI MELAKA


Melaka, 24 Sept - Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota polis dipercayai dipukul dengan batu, semalam.

Perintah reman terhadap remaja yang tidak lagi bersekolah dan menganggur itu, dibenarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rendah, V.Kanasan, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pada kejadian kira-kira 8 pagi semalam, Kpl Zal-Azri Abdul Somad, 31, dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu dan mati, setelah bergelut dengan suspek di tempat kejadian, di Taman Teknologi Cheng di sini.

Isnin, 23 September 2013

Ops cantas tidak akan dihentikan

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan Ops Cantas Khas yang dilaksanakan bagi mengesan anggota kongsi gelap atau gangsterisme akan dihentikan pada 19 Okt ini.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini, operasi itu akan diteruskan bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dan sehingga 'fear of crime' di kalangan masyarakat dapat dikurangkan.

Ahmad Zahid berkata sehingga 18 Sept, seramai 212,259 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap telah ditahan dan dibuat tapisan.

"Seramai 8,898 orang pula telah ditangkap, 289 senjata api dan senjata merbahaya juga telah dirampas. Kejayaan yang dicapai adalah penurunan indeks jenayah khususnya jenayah kekerasan hampir 42 peratus daripada 69 kes kepada 40 kes dalam tempoh sebulan operasi dijalankan," katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada sesi soal jawab di Parlimen di sini.

KDN: 92 penjenayah ditembak mati

Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Seramai 92 penjenayah telah ditembak mati sejak 2011 sehingga Ogos 2013, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Daripada jumlah itu, 56 orang adalah warganegara Malaysia dan selebihnya dari Indonesia, Myanmar serta Nigeria.

Beliau  menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him secara bertulis pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Tong Him menuntut penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung jumlah kes anggota polis menembak mati individu ketika menjalankan penguatkuasaan dan penangkapan bagi tahun 2011 hingga 2013.

Ahad, 30 Jun 2013

Flash mob: Polis akan bertindak


KUANTAN 28 Jun - Polis mengingatkan pihak yang ingin menganjurkan flash mob di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini Isnin ini supaya tidak meneruskan hasrat itu kerana mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, bagaimanapun berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima maklumat mengenai penganjuran flash mob tersebut.

“Namun saya ingin nasihatkan mereka supaya jangan buat, kita ada peraturan dan undang-undang. Jangan ikut kesenangan anda sahaja, orang lain pun tidak mahu diganggu kehidupan mereka.

“Kita tidak akan menangkap mereka, cuma kita akan tentukan ini adalah satu pelanggaran undang-undang dalam menentukan keselamatan orang lain terjamin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Sabtu, 29 Jun 2013

Kena tembakan di kepala

KOTA KINABALU 26 Jun - Seorang Pakar Forensik Hospital Queen Elizabeth memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, punca kematian dua anggota VAT 69 yang terkorban dalam serangan kumpulan pengganas Kiram di Kampung Tanduo Lahad Datu pada 1 Mac lalu, disebabkan tembakan di kepala.

Dr. Amir Saad Abdul Rahim berkata, beliau telah melakukan bedah siasat ke atas mayat Allahyarham Asisten Supritendan (ASP) Zulkifli Mamat, 29, dan Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud, 46, yang terkorban dalam insiden itu.

Proses bedah siasat dijalankan pada pukul 7 malam hari sama selepas berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan kumpulan pengganas Kiram.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...