Khamis, 9 Januari 2014

POLIS TERENGGANU BURU SEORANG KONTRAKTOR PUKUL PENJAWAT AWAM DI BESUT



Kuala Terengganu, 9 Jan - Polis Terengganu kini sedang giat memburu seorang kontraktor yang dipercayai terlibat dalam kes pukul seorang petugas Yayasan Islam Terengganu, Mohd Noor Mat, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata polis telah melakukan serbuan di rumah suspek berusia 51 tahun itu di Besut, namun gagal mengesannya.

"Kita telah mengenal pasti suspek utama yang terlibat dan kita minta suspek tampil menyerah diri ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, suspek dipercayai sedang bersembunyi di tempat lain dan yakin dia dan beberapa individu lain akan diberkas dalam masa terdekat.

Kejadian berlaku pada kira-kira 1.50 petang di hadapan Dewan Gong Kemuntong ketika Mohd Noor, 47, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Raja, Jerteh, Besut.

Mangsa telah disekat sekumpulan lelaki sehingga berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditumbuk dan dipukul.

Akibat pukulan itu, mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan dan telah dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan serta dibenarkan keluar pagi, semalam.

Sementara itu, Manoharan meminta pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan penyebaran fitnah yang mengatakan mangsa telah meninggal akibat pukulan itu.

Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang menyebarkan berita kematian mangsa melalui laman sosial Facebook. - BERNAMA

POLIS JALANKAN SIASATAN LANJUT KES PADERI



Putrajaya, 9 Jan - Pejabat Peguam negara meminta polis menjalankan siasatan lanjut terhadap kes seorang paderi Katolik mengeluarkan kenyataan berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang bukan Islam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata polis akan mengemukakan semula kertas siasatan kes itu secepat mungkin.

Menurut beliau adalah agak biasa bagi Pejabat Peguam Negara mengembalikan kertas siasatan dan meminta polis menjalankan siasatan lanjut.

"...dan kami akan melakukannya. Untuk kes ini, tidak banyak perkara yang diarah untuk kita (polis) lakukan dan kita boleh urus dalam masa yang singkat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena pelancaran Rangka Tindakan Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Polis Diraja Malaysia di lobi Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata Paderi Lawrence Andrew, yang juga editor akhbar mingguan Katolik, The Herald, tidak akan dipanggil semula untuk direkod kenyataannya.

Polis Selangor menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada Pejabat Peguam Negara semalam. - BERNAMA

Tun M Cadang Wujud Semula ISA Tangani Puak Pelampau

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pelaksanaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani tindakan puak ekstremis minoriti yang menjejaskan kestabilan negara.
Beliau menyifatkan segelintir puak pelampau ini sebagai kumpulan yang tidak matang dan sanggup mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati yang mengganggu keharmonian dan sensitiviti kaum lain di negara ini.
"Untuk golongan pelampau sebegini, kita memerlukan ISA. ISA tidak diperlukan untuk orang macam saya kerana saya seorang yang sangat bagus," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu undangan khas dalam program berbahasa Inggeris RTM2 'Hello On Two', yang disiarkan secara langsung di Wisma TV, Angkasapuri di sini, Khamis.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas tentang ketegangan antara kaum berikutan isu rampasan Bible versi Bahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Khamis lalu.
Beliau berkata sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)2012 (Sosma) tidak digunakan, adalah lebih baik negara tidak mempunyai undang-undang sedemikian.
Sehubungan itu, Dr Mahathir menasihati segelintir rakyat supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata yang menyentuh sensitiviti agama atau menyakitkan hati orang lain.
"Sekiranya rakyat terus bertelagah, mereka akan menjadi seperti rakyat di negara lain, yang akhirnya akan saling membunuh sesama sendiri. Ini tidak adil untuk mereka yang tidak terlibat dalam kontroversi ini," katanya.
Dalam rancangan itu, Dr Mahathir berkongsi pendapat dan rahsia termasuk rutin harian, falsafah perniagaan, dan rahsia kesihatan yang membuatkan beliau sentiasa sihat dan bertenaga pada usia 89 tahun.
Beliau turut menamakan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber inspirasi beliau, kerana kagum dengan kesabaran dan kehebatan Baginda semasa berhadapan dengan golongan yang membencinya, selain berjaya membangunkan masyarakat Islam yang bertamadun.
Rancangan itu diadakan sempena ulang tahun ke-11 Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri ke empat sejak 1981 dan berundur daripada jawatan itu pada 2003, setelah menerajui pemerintahan negara selama 22 tahun.
Semasa rancangan sejam itu berlangsung, pelukis Abdul Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda melukis sebuah potret Dr Mahathir. BERNAMA

Rabu, 8 Januari 2014

Suri rumah disamun ketika sedang berkebun

gambar hiasan

ALOR SETAR - Seorang suri rumah kerugian kira-kira RM5,000 selepas barang kemas yang dipakainya disamun ketika dia sedang berkebun di hadapan rumahnya di Taman Seri Kota, Kuala Kedah dekat sini.

Salehah Salleh, 54, berkata kira-kira pukul 10.15 pagi tadi, dia didatangi lapan lelaki yang menaiki empat buah motosikal.

"Akak tengah bersihkan pokok-pokok bunga di luar. Tiba-tiba ada orang datang dari arah belakang dan tekan kepala akak sebelum menyelak tudung yang dipakai.

"Mereka selak tudung sebab nak tengok akak pakai rantai atau tidak tapi nasib baik akak dah cabut (buang) rantai awal-awal kerana berpeluh. Tapi mereka berjaya ambil rantai tangan yang akak pakai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya dia tidak perasan akan kehadiran kumpulan itu kerana dia sedang menghadap bahagian dinding rumahnya.

Salehah berkata sebelum itu dia dan suaminya Ibrahim Mahmud, 63, ternampak kumpulan itu lalu di hadapan rumah mereka namun tidak mengesyaki apa-apa.

"Awal tu mereka dah lalu, jadi akak dan abang tak syak apa-apa. Tapi lepas beberapa minit mereka berpatah balik.

"Akak menjerit minta tolong dan suami akak berlari keluar tapi tak sempat berbuat apa-apa sebab mereka terus melarikan diri," katanya.

Ibrahim berkata dia sedang menjaga cucunya yang berumur dua bulan di dalam rumah sebelum mendengar isterinya menjerit meminta tolong.

"Bila dengar akak menjerit, abang terus keluar rumah tapi masa tu mereka semua terus naik motosikal dan beredar dari situ. Abang lihat seorang sahaja yang turun menyamun manakala yang tujuh lagi ada di atas motosikal masing-masing," katanya.


Dia berkata ini merupakan kali pertama kejadian samun berlaku di taman perumahan itu selepas hampir 20 tahun menetap di situ. - Bernama

PENYAMUN GILA SEKS

Gambar hiasan

BERCHAM – Seorang nenek trauma dipaksa melakukan seks oral terhadap seorang lelaki dalam satu kejadian samun di sebuah kebun sayur di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa berusia 74 tahun bersendirian melakukan rutin harian memeriksa sayur-sayur ditanamnya.

Sinar Harian difahamkan, seorang lelaki berusia 20-an menghampiri mangsa dari arah belakang sebelum memulas tangan dan meragut rantai leher, merampas cincin emas serta anting-anting emas yang dipakainya.

Suspek turut merampas dompet berisi wang tunai RM250 yang disimpannya dalam poket baju mangsa.

Suspek kemudiannya mengambil kesempatan membuka baju mangsa dan turut membuka seluarnya sebelum mengarahkan mangsa melakukan seks oral terhadapnya.

Mangsa bagaimanapun melawan dan berkeras tidak mahu melakukan aksi tidak senonoh itu.

Tindakan mangsa yang terus cuba melawan berjaya menyelamatkannya apabila suspek mengambil keputusan melarikan diri dengan mengayuh basikal milik mangsa.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian itu dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...