Selasa, 8 April 2014

POLIS BERJAYA SELAMATKAN KANAK-KANAK DARIPADA DICULIK


TINDAKAN PANTAS POLIS SELAMATKAN KANAK-KANAK DICULIK

Kota Kinabalu, 7 April - Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun daripada diculik oleh individu tidak dikenali di kawasan meletak kereta Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Likas, awal hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu kanak-kanak yang sedang tidur di dalam kereta milik ibunya dilarikan sejauh kira-kira enam kilometer oleh penjenayah sebelum ditemui ditinggalkan di kawasan Asia City sejam kemudian.

"Kami sedang mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana kamera litar tertutup di kawasan Asia City yang berjaya mengesan kenderaan itu dan percaya kes itu adalah cubaan menyamun kereta," katanya.

Chandra berkata pihaknya sedang menyiasat penglibatan lebih daripada seorang suspek melarikan kereta itu dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis.

"Kanak-kanak itu bernasib baik kerana sepanjang kenderaan ibunya dilarikan dia sedang tidur dan jika sebaliknya pasti kejadian ini akan membawa kesan trauma ke atas dirinya," katanya.

Difahamkan ibu mangsa yang berusia 40-an dikenali sebagai Chung meletakkan kereta jenis Toyota Vios dengan enjinnya dibiarkan hidup ketika singgah membeli makanan sebelum beberapa minit kemudian kanak-kanak itu hilang bersama kenderaan itu. - BERNAMA

PENAGIH MEMILIKI PISTOL TIRUAN

Gambar hiasan

Kota Bharu, 7 April - Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki pistol tiruan di rumahnya di Kampung Salor di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata suspek yang berumur 38 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 malam. 

"Selepas disoal siasat, suspek telah membawa polis ke tempat dia menyimpan pistol berkenaan. Suspek kemudian menunjukkan sepucuk pistol tiruan berwarna hitam bertulis G-26 C MILSPEC 9X9 yang di letakkan di atas almari dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati suspek didapati positif methamphetamine dan kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Azham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Isnin, 7 April 2014

Mayat Lelaki Ditemui Dengan Kesan Kelar Di Leher



BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kelar di leher dan beberapa tikaman serta luka di badan berhampiran kawasan perkuburan Islam di Jalan Permatang Nibong, di sini malam Ahad.

Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terbaring oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 8 malam.

"Lelaki itu memakai seluar jeans dan kemeja hitam. Selain kesan tikaman, perut lelaki itu juga hampir terburai akibat ditikam," kata jurucakap polis.

Beliau berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan polis percaya lelaki itu adalah rakyat asing kerana tiada tanda suntikan BCG pada lengannya.

Polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata lelaki itu mempunyai tatu di bahagian dada.

Mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga atau rakan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya.

Ahad, 6 April 2014

Usah terpengaruh lambakan maklumat tragedi dalam media sosial


KLANG: Golongan belia dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan lambakan maklumat tidak tepat yang disebar menerusi media sosial mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata, mereka harus bijak menilai fakta yang dipaparkan dan tidak terus mempercayai sepenuhnya jika terdapat sebarang perbezaan maklumat daripada apa yang didedahkan kerajaan. 

"Mereka jangan mudah terpedaya dengan tindakan pihak tertentu, sama ada mana-mana saluran media atau pun media sosial yang suka melemparkan tuduhan kononnya kerajaan selama ini menyembunyikan fakta sebenar mengenai tragedi itu," katanya selepas merasmikan persidangan Tahunan Ke-7 Persatuan Malaysia Pranava Yoga Theraphy Centre di sini hari ini. 

"Belia jangan percaya maklumat yang disebar itu sebagai sesuatu yang benar sedangkan kerajaan kita berusaha keras mencari pesawat berkenaan dan mendedahkan apa saja maklumat yang kita terima kepada umum," katanya. 

Tambahnya, tragedi pesawat MH370 itu bukan sekadar isu negara ini, tetapi ia adalah isu antarabangsa kerana turut melibatkan kehilangan rakyat pelbagai negara antaranya China, Amerika Syarikat dan Australia. 

Sehubungan itu katanya, usaha Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk menambah baik modul latihan pengurusan media sosial terhadap pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah tepat pada waktunya. 

Menyifatkan masalah kekeliruan fakta dan persepsi dalam kalangan golongan muda kini semakin ketara, Saravanan berkata langkah itu diharap dapat memberi panduan kepada para belia dalam mengadaptasi sebarang maklumat yang diterima. 
Beliau berkata modul itu yang dipupuk pada peringkat awal juga dilihat mampu menangani masalah penyebaran maklumat tidak tepat serta tidak berasas menerusi pengunaan media sosial kelak. - BERNAMA 

KERJASAMA PDRM, ATM DIMENSI BAHARU USAHA JAGA KESELAMATAN PENDUDUK LABUAN



Labuan, 5 April - Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-8 (NBOS-8) memberi dimensi baharu dalam kerjasama kedua-dua pihak menjaga keselamatan Labuan.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata kejayaan pelaksanaan NBOS ke-8 juga memberi perakuan bahawa polis dan tentera boleh menjadi satu entiti dalam tugas menjaga keselamatan di pulau bebas cukai itu.

Beliau berkata menerusi program NBOS itu, pasukan keselamatan mampu mempertingkat keberkesanan komunikasi dan memupuk semangat perpaduan kedua-dua pihak.

"Kejayaan inisiatif bersama ini turut memperlihatkan keharmonian di sini terus terpelihara. Perkara utama ialah memastikan masyarakat di pulau ini dapat hidup dalam keadaan aman damai tanpa dibelenggu ancaman," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Terbuka PDRM dan ATM di bawah NBOS-8 hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, Panglima 2 Divisyen Udara (TUDM) Mejar Jeneral Datuk Ansar Ali Mejetih dan Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Adzhar Othman. 

Rozman juga berkata susulan pelaksanaan NBOS sejak 2011, indeks jenayah seluruh negara merekodkan penurunan, termasuk di kawasan rondaan bersama PDRM dan ATM.

Beliau berkata pada 2011, kes jenayah menurun kepada 20,406 berbanding 23,932 bagi tahun 2010 dan bagi tahun 2013 pula, kes jenayah yang dilapor ialah 16,478 kes berbanding 18,809 pada 2012. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...