Isnin, 21 Julai 2014

KPN TERIMA ‘MELVIN JONES FELLOWSHIP AWARD’

Kuala Lumpur, 20 Julai - Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar telah dianugerahkan ‘Melvin Jones Fellowship Award’ oleh Lions Clubs International Daerah 308B1 semalam, bersempena dengan upacara pelantikan Encik Lim Hoe Guan sebagai Gabenor Daerah berkenaan yang diadakan di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur.


Penganugerahan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan di atas kerjasama yang terbentuk di antara PDRM dan Kelab Lions melalui Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah wujud selama lebih daripada 20 tahun.


Gambar: Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar menerima plak Melvin Jones Fellowship dari Gabenor Daerah 308B1 Lim Hoe Guan.


Ahad, 20 Julai 2014

PERINTAH BERKURUNG BERMULA DI TG PUNDARAS HINGGA JETI TAWAU


Kota Kinabalu, 19 Julai - Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tg Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau berkuat kuasa hari ini hingga 2 Ogos ini.


Ia bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi.


Beliau berkata kawasan perintah berkurung bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121, 270 batu nautika persegi.

#OPS CANTAS KHAS: GENG DIDI TUMPAS DI TEMERLOH


Temerloh, 19 Julai - Dua penjenayah paling dikehendaki yang dipercayai mempunyai rangkaian jenayah di beberapa negeri, mati ditembak dalam 'Ops Cantas Khas' di Jalan Kampung Bangau Tanjung dekat sini malam tadi.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata dalam kejadian berbalas tembak kira-kira pukul 10 malam ituseorang lagi anggota kumpulan yang dikenali sebagai 'Geng Didi' turut cedera manakala seorang lagi dapat melarikan diri.


"Kesemua empat suspek ini menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu yang ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman berhampiran Hotel Sri Malaysia di sini kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

TAHNIAH PPM WILAYAH 2 GAGALKAN CUBAAN SELUDUP DIESEL BERSUBSIDI RM494,000


Kota Tinggi, 19 – Polis Marin Pengerang berjaya mematahkan cubaan menyeludup diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM494,000 di perairan Pulau Lima, Sungai Rengit petang semalam.Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Kon Chiang berkata, menerusi operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya itu, pihaknya telah menahan 12 kru warga asing dan sebuah kapal yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di perairan Tanjung Surat.


Hasil pemeriksaan ke atas kapal mendapati lebih kurang 190,000 liter minyak diesel bersubsidi terdapat di dalam tangki. 


Kesemua diesel termasuk sebuah kapal yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.5juta.


Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut.


Sabtu, 19 Julai 2014

SCAM ALERT: Mencari pekerjaan diluar negara

Menjanjikan pekerjaan di luar negara dengan gaji yang lumayan merupakan sebahagian taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan untuk menjerat mangsa yang sedang mencari pekerjaan. Bermodalkan JANJI pekerjaan palsu, sindiket ini telah meraih keuntungan dengan mudah dan cepat.

Modus Operandi

1.  Sindiket mendekati orang ramai dan menawarkan pekerjaan di luar negara dengan menjanjikan gaji lumayan dalam mata wang asing.

2.  Mangsa yang berminat dikehendaki membuat bayaran permohonan sebanyak RM350 dan dijanjikan wang tunai berjumlah RM20,000 sebelum berlepas ke tempat kerja (luar negara).

3.  Untuk lebih meyakinkan mangsa, ahli sindiket akan meminta mangsa menghantar beberapa dokumen seperti salinan kad pengenalan, passport, buku akuan dan gambar berukuran passport kononnya untuk proses kemasukan.

4.  Proses dan keperluan yang diminta sindiket membuatkan mangsa merasakan tawaran tersebut adalah sahih dan mangsa hanya menyedari tertipu apabila suspek menghilangkan diri dan pekerjaan yang dijanjikan tidak wujud.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...