Isnin, 28 Mac 2011

Tidak perlu lapor polis jika hilang MyKad

PUCHONG - Jika sebelum ini orang ramai yang kehilangan MyKad atau pasport perlu membuat laporan polis namun kini mereka tidak perlu berbuat demikian.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, mereka yang kehilangan kedua-dua dokumen itu hanya perlu ke Jabatan Imigresen atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat permohonan baru mulai 1 Mac lalu.
"Mengikut rekod sebanyak empat juta laporan polis telah dibuat sehingga hari ini.
"Kita tidak mahu lagi menyusahkan pihak polis dan mengambil inisiatif ini untuk membantu meringankan beban mereka," katanya selepas Majlis Penyerahan Pangkat Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di sini semalam.

Penjenayah remaja meningkat

PENDANG – Remaja antara golongan yang paling penting dalam memimpin selain menentukan kemajuan sesebuah negara, namun dengan kes jenayah yang membabitkan golongan itu semakin berleluasa, remaja hari ini sudah jauh dari landasan yang sepatutnya. 

Ketua Polis Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, jenayah yang sering dilakukan membabitkan golongan remaja adalah kes kecurian motosikal yang kini mencatatkan peratusan tinggi. 

Sikap sambil lewa pemilik bawa padah 

Menurutnya, kes itu dicatatkan sebanyak 62 peratus, ternyata sering membabitkan golongan remaja. 

“Yang paling muda terjebak dengan jenayah ini adalah dalam lingkungan 15 tahun. 

“Mereka yang terlibat selalunya bergerak dalam kumpulan kecil,” katanya kepada Sinar Harian. 

Abdul Azizi berkata, motosikal yang sering menjadi sasaran kepada kes kecurian adalah jenis Honda EX5 dan Yamaha RC yang banyak dilaporkan hilang memandangkan motor jenis terbabit mudah untuk dicuri. 

“Motor yang sering menjadi risiko adalah motor yang tidak mempunyai kunci tambahan dan diletakkan di kawasan yang terpencil dan gelap. 

“Sikap pemilik motosikal yang sambil lewa membawa padah pada diri mereka sendiri selain antara penyebab kes ini makin meningkat peratusnya,” katanya. 

45 peratus kes berjaya selesai 

Beliau berkata, golongan remaja yang terlibat dengan jenayah itu bertindak meleraikan semua komponen motosikal terbabit bagi menjual semua alat-alat gantian terbabit untuk memperoleh wang. 

“Selepas meleraikan semua alat-alat gantian itu, mereka akan membuang rangka motosikal ke dalam sungai, hutan, semak samun agar perbuatan mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa dan orang ramai. 

“Atas pengakuan remaja yang ditangkap, mereka sendiri mengaku dan memberi kerjasama dengan menunjukkan tempat-tempat rangka itu dibuang,” katanya. 

Daripada jumlah peratusan kes kecurian itu, beliau berkata, sebanyak 45 peratus kes terbabit berjaya diselesaikan polis hasil soal siasat dan maklumat masyarakat setempat yang banyak membantu. 

Sentiasa berwaspada 

Beliau juga menyarankan agar orang ramai sentiasa berwaspada kerana kes itu banyak tertumpu pada kawasan pekan namun kejadian itu tidak tertumpu sepenuhnya pada setiap masa. 

Sementara itu, selain daripada kes terbabit, terdapat juga jenayah pecah rumah yang sering dilakukan golongan remaja namun peratusan jenayah itu tidak tinggi seperti kes kecurian motosikal. 

“Kawasan taman, dan kampung menjadi perhatian kes jenayah ini namun peratusannya tidak meningkat. 

“Namun kes jenayah yang berlaku di daerah Pendang adalah terkawal hasil bantuan orang ramai yang sering membantu pihak polis,” katanya. 

Kem Anak Soleh bimbing anak-anak 

Kem Anak Soleh yang dianjurkan oleh pembangunan ehsan Kerajaan Negeri Kedah dilihat dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan membentuk anak-anak yang mampu berhadapan dengan cabaran. 

Pengarah Kem Anak Soleh Pendang, Salim Mahmud berkata, masalah sosial yang sering berlaku kepada anak-anak berpunca daripada solat yang sering diabaikan. 

Tambahnya, sesungguhnya solat itu tiang agama, jika runtuh maka runtuhlah juga akhlak seseorang individu itu. 

“Ibu bapa harus memainkan peranan dalam memberi didikan agama yang mencukupi bagi menghindari masalah sosial dan jenayah yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” katanya. 

Wang punca jenayah bermula 

Sinar Harian cuba mendapatkan komen daripada seorang remaja iaitu Mat Isa Awang, 26, mengakui bahawa memang banyak jenayah yang berlaku dalam kalangan remaja yang menyumbang kepada beberapa faktor yang mendorong mereka melakukan pelbagai jenayah. 

Menurutnya, remaja yang terdorong melakukan jenayah itu adalah terdiri daripada remaja yang datang daripada latar belakang keluarga yang kurang didikan agama. 

“Jika abang atau ahli keluarganya menunjukkan sifat dan kelakuan yang tidak baik menyebabkan adik beradik yang lain terikut-ikut perangai ahli keluarga. 

“Selain itu golongan terbabit juga mudah terpengaruh dengan pujukan rakan-rakan,” katanya. 

Mat Isa berkata, akibat terdesak untuk mendapatkan wang juga salah satu faktor mereka terjebak dalam kancah terbabit, tanpa berfikir panjang kesan yang bakal mereka dihadapi. 

“Remaja adalah pewaris bangsa. Pemuda adalah harapan bangsa dan pemudi ialah tiang negara. Semua pihak harus memainkan peranan untuk mengurangkan masalah terbabit bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.” katanya.

ADUN bimbang kawasan tidak selamat

SEREMBAN - Ketiadaan balai polis di sesetengah kawasan sekitar Senawang, di sini membimbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P. Gunasekaran. 

Menurut Gunasekaran, banyak berlaku masalah polis lewat bertindak sekiranya berlaku kejadian jenayah di kawasan tertentu disebabkan kedudukan balai polis yang jauh. 

Beliau mengambil contoh berlaku ke atas pemilik kedai ubat tradisional Cina di Seremban Jaya Fasa 9, dekat sini yang terpaksa menunggu lama mendapatkan bantuan polis selepas dirompak. 

“Mangsa dikatakan sudah cuba menghubungi talian hotline polis serta balai polis berdekatan, namun gagal. 

Pura-pura mahu fotostat

SEREMBAN – Dua penjenayah berpura-pura bertanya sebelum menyamun seorang pemilik kedai ubat tradisional Cina bersama pelanggannya di Seremban Jaya Fasa 9, di sini, baru-baru ini. 

Dalam kejadian kira-kita 7 petang itu, pemilik kedai, Yow Meng Hoat dikatakan sedang melayan seorang pelanggan wanita untuk membeli ubat di kedainya. 

Menurutnya, semasa kejadian, hanya dia dan pelanggannya sahaja berada di dalam kedai itu, sebelum didatangi seorang lelaki bertanyakan sama ada kedai itu ada menyediakan perkhidmatan fotostat. 

Padah merokok bawah umur

SEREMBAN – Lima pelajar sekolah diberikan notis memerintahkan mereka hadir di mahkamah kerana kesalahan merokok di bawah umur. 

Kesalahan tersebut dikesan semasa Operasi Penguat kuasaan Peraturan- peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT) oleh Jabatan Kesihatan negeri di enam sekolah di daerah Kuala Pilah, Isnin lalu. 

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan berkata, notis tersebut dikeluarkan mengikut penguat kuasaan terbabit. 

“Kesemua notis tersebut dikeluarkan di bawah peraturan 13(1) iaitu Orang Belum Dewasa (OBD) tidak boleh merokok, mengunyah, membeli atau memiliki apa-apa hasil tembakau,sama ada untuk kegunaannya sendiri atau tidak. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...