Selasa, 18 Jun 2013

Peguam didakwa menipu lelaki babitkan RM2.3 juta

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan kes seorang peguam yang dituduh menipu seorang lelaki membabitkan RM2.3 juta dua tahun lalu.
Leng Kok Ooi, 60, bersama seorang lagi yang telah dituduh Gabriel Youshua
a/l Moses, 55, didakwa menipu Chang Chin Fooi, 42, untuk mempercayai geran tanah GM5909, Lot 950, 4th Miles Batu Road Mukim Batu di sini adalah sah.
Berikutan itu dia mendorong mangsa membuat pembayaran RM2,395,640 sebagai cagaran untuk pembelian tanah itu.
Leng yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di 815 Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, Blok E, Phileo Damansara 1, Seksyen 16, di sini pada 4 Nov hingga 28 Dis 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin dan memohon agar pasport tertuduh diserahkan pada mahkamah. - Bernama



Gejala sosial: Lesen kafe siber di KL, Labuan dibeku

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pengeluaran lesen kafe siber di Kuala Lumpur dan Labuan akan dibeku buat sementara dalam usaha kerajaan membanteras masalah sosial di premis itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, tindakan itu terpaksa diambil untuk mengatasi masalah kafe siber yang ada di antaranya bertukar menjadi tempat judi siber dan tindakan pemilik kafe siber menyalahguna lesen yang telah diberi kepada mereka.

"Putrajaya tidak terlibat kerana tidak ada kafe siber di sana. Masalah ini tidak boleh dibiarkan lagi kerana masalah kafe siber yang menyalahgunakan lesen ini sudah terjadi berulang kali," katanya kepada pemberita selepas Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sabtu, 15 Jun 2013

FAKTOR MISKIN, INGIN KEMEWAHAN ANTARA PUNCA PEMBABITAN WANITA DALAM JENAYAH MENINGKAT

Gambar hiasan

George Town, 13 Jun - Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini polis memberkas 1,476 wanita yang terbabit jenayah, satu peningkatan mendadak berbanding 1,214 orang sepanjang tahun lalu dan 774 pada 2011.

Pengerusi Amanita Polis Kontinjen Pulau Pinang ASP M. Selvi berkata angka yang direkodkan di seluruh negara itu menunjukkan trend membimbangkan.

"Peningkatan ini berlaku sejak tiga tahun lalu. Selalunya kita mendengar wanita menjadi mangsa jenayah tetapi kini keadaan sebaliknya," katanya pada forum komuniti 'Wanita dan Penyalahgunaan Dadah' anjuran Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan Universiti Sains Malaysia, di sini hari ini. 

Menurutnya antara faktor yang menyebabkan wanita terbabit dalam jenayah ialah ingin mencari kemewahan, kemiskinan serta pengaruh kawan.

Mereka biasanya terbabit jenayah curi, samun, pecah rumah dan curi motosikal, katanya.

Selvi berkata Pulau Pinang juga menunjukkan peningkatan kes jenayah membabitkan pelaku wanita iaitu 204 kes pada tahun lalu berbanding 201 pada 2011.

Dari Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 80 tangkapan membabitkan wanita direkodkan, katanya.

Kira-kira 100 penjawat awam dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai forum sehari itu yang bertujuan memberi kesedaran penyalahgunaan dadah dalam kalangan wanita.

Antara anggota panel pada forum itu ialah Penolong Pengarah Rawatan Perubatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Ahmad Nazir Long, Presiden Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang Christine Low dan Timbalan Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Janizah Abdul Ghani.- BERNAMA

Jumaat, 14 Jun 2013

Perompak larikan barangan kemas bernilai RM1.5 juta

Gambar hiasan
KOTA TINGGI - Sekumpulan empat lelaki bersenjatakan tukul besi dan objek menyerupai pistol melarikan barangan kemas bernilai hampir RM1.5 juta di sebuah kedai emas yang terkenal di bandar ini pagi tadi.
Difahamkan ketika kejadian berlaku terdapat enam orang pekerja wanita berada di dal premis yang tidak mempunyai khidmat pengawal keselamatan itu.
Kejadian tersebut juga turut disaksikan oleh orang awam yang berada di kawasan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Mohd Nor Rasid ketika mengesahkan kejadian berkata, seramai empat orang suspek berjaya melepaskan diri menaiki dua buah motosikal. - KOSMO!



PDRM lantik perunding antarabangsa

SHAH ALAM 14 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melantik perunding antarabangsa, Frost & Sullivan bagi menilai tahap kepuasan masyarakat terhadap perkhidmatan polis di negara ini.

Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) PDRM, Datuk Ayub Yaakob berkata, perunding antarabangsa itu bukan sahaja menilai kepuasan terhadap PDRM tetapi bagi mengetahui rasa selamat masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, perunding antarabangsa tersebut telah pun memulakan kerja penilaian dan hasilnya akan didedahkan kepada masyarakat pada penghujung tahun ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...