Isnin, 30 Disember 2013

Orang Ramai Dinasihat Patuhi Arahan Jika Berlaku Gelombang Kedua Banjir


KUANTAN, 29 Dis (Bernama) -- Polis meminta orang ramai bersedia dan mengikuti semua arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku gelombang kedua banjir di Pahang yang dijangka bermula Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, sebanyak 67 pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan yang boleh memuatkan 20,415 orang telah disediakan untuk mangsa banjir.

Katanya, tujuh mukim terlibat iaitu di Kuala Kuantan 1 sebanyak 11 pusat pemindahan, Kuala Kuantan 2 (21 pusat pemindahan), Ulu Kuantan (12), Beserah (dua), Sungai Karang (lapan), Penor (lapan) dan Ulu Lepar (lima).

"Selain itu, beberapa kawasan letak kenderaan turut dicadangkan bagi mangsa-mangsa banjir mengikut kawasan kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Ahad.

Beliau berkata, kawasan yang dicadangkan bagi penduduk Permatang Badak, Sungai Isap 1, Sungai Isap Jaya, Taman Guru, Taman Sepakat dan Taman Kurnia ialah di tanah lapang bersebelahan pasaraya Giant, di tepi padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dekat Kemunting dan di sepanjang laluan dari Tanah Putih menghala ke persimpangan lampu isyarat Permatang Badak.

"Bagi penduduk di sekitar Taman Guru, Gudang Rasau dan perumahan Batu 6 boleh meletak kenderaan di laluan masuk ke SMK Gudang Rasau dan di sepanjang kiri kanan jalan Gambang menghala ke Taman Tas.

"Penduduk di sekitar Bukit Rangin dan Kuantan ByPass boleh meletak kenderaan masing-masing di laluan Kuantan-ByPass dari arah Bukit Rangin menghala ke Kolej Shahputra dan di tanah lapang berhadapan stesen minyak Shell Jalan Kuantan-ByPass.

"Sementara penduduk di sekitar Perkampungan Cenderawasih dan Kampung Tengah pula mereka boleh meletak kenderaan di kawasan perindustrian Indera Mahkota 3," katanya

Sabtu, 28 Disember 2013

Emas RM700,000 dilarikan dari kedai emas di Kajang

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 27 Dis. - Empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi melarikan 10 dulang barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM700,000 dalam masa dua minit sahaja dari sebuah kedai emas di Sungai Chua, Kajang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Dearah Kajang, Supritendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kejadian berlaku pada pukul 4 petang di premis berkenaan yang terletak di dalam sebuah pasar raya.

"Ketika kejadian, terdapat dua pekerja. Pada ketika itu, salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan ke dalam kedai yang mengenai cermin kalis peluru.

"Seorang lagi memecahkan cermin pameran dengan tukul besi dan melarikan 10 dulang barangan kemas," katanya di tempat kejadian.

Abdul Ghani berkata, kesemua mereka memakai topi keledar bertutup penuh dan jaket.

Polis akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebelah kedai emas itu yang dapat merakam kesemua pergerakan suspek ketika melarikan diri, katanya. - BERNAMA 

Jumaat, 27 Disember 2013

"DATUK AMLA" MENCEMARKAN NAMA BAIK PDRM !!!

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis mengesahkan seorang pegawai tinggi polis bergelar 'Datuk' telahpun memberi keterangan, dipercayai berhubung kes pengubahan wang haram RM6 juta.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata, pegawai polisberkenaan memberi keterangan di Putrajaya, Selasa lepas.
"Sebenarnya pegawai polis yang kita panggil itu adalah untuk mengambil keterangan dia, rakam percakapan.
"Dia telah memberi kerjasama yang baik dan keterangan telah diambil. Tidak ada tangkapan dibuat," katanya ketika ditemui pada sidang media Panel Penilaian Operasi (PPO) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan kes itu serta dakwaan penemuan wang tunai di rumah pegawai polis berkenaan serta pegawai lain akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Akhbar pada Khamis melaporkan pegawai tinggi itu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM terhadap tiga pegawai polis berhubung kegiatan pengubahan wang haram RM6 juta.
Akhbar itu juga, pada November lepas, melaporkan bahawa tiga pegawai terbabit yang masing-masing berpangkat Deputi Superintenden, Asisten Superintenden serta Sarjan, ditahan berasingan dan ketika ditahan, SPRM turut menemui wang tunai lebih setengah juta, tiga jam tangan berjenama Rolex selain sejumlah barang kemas.
Siasatan awal suruhanjaya itu mendapati kegiatan pengubahan wang haram inimembabitkan nilai jutaan ringgit.
Dua daripada pegawai yang ditahan bertugas di Johor manakala seorang lagi di Seremban, Negeri Sembilan.
Seorang daripada mereka disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM1.7 juta manakala seorang lagi RM4.3 juta.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - BERNAMA

Khamis, 26 Disember 2013

Beli gula-gula sebelum samun

Beli gula-gula sebelum samun

SEGAMAT - Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Jawa, di sini, kerugian hampir RM4,000 apabila disamun tiga lelaki di kedainya, malam kelmarin.

Mangsa, Mariani Mahidin, 39, berkata, kejadian berlaku jam 7.30 malam apabila tiga remaja lelaki berumur 20-an yang menaiki sebuah kereta berhenti di hadapan kedainya.

“Ketika itu, saya berseorangan di kedai dan saya sangka mereka mahu beri barang. Sangkaan saya pada awalnya betul apabila salah seorang daripada mereka membeli gula-gula berharga 60 sen.

“Selang 10 minit kemudian, remaja yang sama datang bersama seorang lagi rakannya dengan membawa sebilah parang.

“Saya yang terkejut tidak mampu berbuat apa-apa dan mereka meminta saya memberi barangan berharga termasuk wang tunai di kaunter yang saya anggarkan RM4,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bimbang diri dicederakan, dia menyerahkan wang tunai yang terdapat di kaunter kedainya kepada dua remaja tersebut sebelum mereka melarikan diri meninggalkan kedai menaiki kereta yang dipandu seorang lagi rakannya itu.

Mariani yang telah 10 tahun membuka kedai runcit berhampiran rumahnya itu berkata, kejadian itu merupakan pertama kali menimpa dirinya dan berdasarkan pemerhatiannya, ketiga-tiga suspek bukan penduduk sekitar kawasan ini memandangkan baru pertama kali melihat mereka.

“Saya yang ketakutan ketika itu segera menghubungi suami yang keluar ke bandar dan kami buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

“Saya hanya buka kedai pada waktu petang sehingga ke malam dan selepas ini, mungkin saya akan menutup operasi kedai lebih awal bimbang kejadian sebegini berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. ????

Kedai emas kena rompak

Kedai emas kena rompak

SEREMBAN – Wartawan Sambilan akhbar Nanyang Siang Pau, mengalami detik cemas apabila kedai emasnya dimasuki dua perompak bersenjatakan parang di Pekan Rantau, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar 8.15 pagi, mangsa, Chong Chee Hong, 67, yang mengalami kerugian hampir RM200,000 itu, diikat dengan menggunakan wayar oleh penjenayah berkenaan sebelum melarikan barang kemas yang diambil dari peti besi.

Che Hong ketika ditemui berkata, setiap hari dia sampai kedai pada jam 9 pagi, namun semalam dia datang awal berikutan motosikalnya ditinggalkan di kedai berkenaan.

Katanya, sebaik sahaja dia sampai kira-kira jam 6.30 pagi, dia melakukan aktiviti harian biasa iaitu membasuh pakaian dan membuka e-mail sebelum memulakan operasi perniagaannya.

“Setelah semua kerja selesai, sekitar 7.30 saya keluar kerana mahu bersarapan. Tapi sampai dikedai makan, saya teringat kunci kedai tertinggal. Saya kemudiannya pergi semula ke kedai untuk mengambil kunci.

“Masuk saja, saya nampak dua lelaki bertopeng berada di peti besi, sebelum mereka bertindak menyerang dan menolak saya dengan ganas.

“Saya disuruh diam dan tidak melawan. Mereka kata mereka ada pistol, manakala parang yang dipegang diacukan kepada saya, sebelum menyuruh saya segera membuka peti besi itu,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Walau bagaimanapun katanya, perompak berkenaan terpaksa menunggu hampir 30 minit, bagi membolehkan dia membuka peti besi berkenaan memandangkan peti besi itu menggunakan sistem ‘set timing’ di mana pada jam 9 pagi sahaja peti besi itu boleh dibuka.

Jelasnya, sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 9, Chee Hong kemudiannya diarah supaya membuka peti simpanan besi yang mengandungi barang kemas termasuk duit bernilai RM5,000.

Kedua-dua pencuri berkenaan kemudian melarikan diri menggunakan pintu belakang, menaiki pacuan empat roda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, menurut siasatan awal mendapati kedua-dua suspek itu berusia awal 20-an dan menggunakan kenderaan jenis Pajero berwarna biru untuk melarikan diri.


Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat dengan kejadian tersebut diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...