Khamis, 26 Disember 2013

Beli gula-gula sebelum samun

Beli gula-gula sebelum samun

SEGAMAT - Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Jawa, di sini, kerugian hampir RM4,000 apabila disamun tiga lelaki di kedainya, malam kelmarin.

Mangsa, Mariani Mahidin, 39, berkata, kejadian berlaku jam 7.30 malam apabila tiga remaja lelaki berumur 20-an yang menaiki sebuah kereta berhenti di hadapan kedainya.

“Ketika itu, saya berseorangan di kedai dan saya sangka mereka mahu beri barang. Sangkaan saya pada awalnya betul apabila salah seorang daripada mereka membeli gula-gula berharga 60 sen.

“Selang 10 minit kemudian, remaja yang sama datang bersama seorang lagi rakannya dengan membawa sebilah parang.

“Saya yang terkejut tidak mampu berbuat apa-apa dan mereka meminta saya memberi barangan berharga termasuk wang tunai di kaunter yang saya anggarkan RM4,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bimbang diri dicederakan, dia menyerahkan wang tunai yang terdapat di kaunter kedainya kepada dua remaja tersebut sebelum mereka melarikan diri meninggalkan kedai menaiki kereta yang dipandu seorang lagi rakannya itu.

Mariani yang telah 10 tahun membuka kedai runcit berhampiran rumahnya itu berkata, kejadian itu merupakan pertama kali menimpa dirinya dan berdasarkan pemerhatiannya, ketiga-tiga suspek bukan penduduk sekitar kawasan ini memandangkan baru pertama kali melihat mereka.

“Saya yang ketakutan ketika itu segera menghubungi suami yang keluar ke bandar dan kami buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

“Saya hanya buka kedai pada waktu petang sehingga ke malam dan selepas ini, mungkin saya akan menutup operasi kedai lebih awal bimbang kejadian sebegini berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. ????
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...