Khamis, 26 Disember 2013

Geng tebuk kedai emas di Besut dikenal pasti


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengenal pasti kumpulan suspek warga asing yang terlibat dalam kes samun dengan menebuk dinding kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek Besut Isnin lepas.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan kumpulan dianggotai empat hingga enam lelaki itu yang turut terlibat dalam kes samun di sebuah pasar raya di Hulu Terengganu Ogos lepas.

"Kita tidak menolak kemungkinan kumpulan ini turut terlibat memecah masuk sebuah pasar raya dengan cara sama iaitu menebuk dinding dan kita sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat.

"Hasil siasatan awal kita juga memperoleh lakaran wajah kesemua suspek dan percaya kesemua suspek yang berusia 20 hingga 30 tahun itu masih bersembunyi dalam negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan ini menyasarkan kedai di kawasan terpencil dan tidak sibuk yang mana suspek akan membuat tinjauan dan mengenal pasti kedudukan peti besi terlebih dahulu sebelum memecah masuk kedai itu.

"Kumpulan ini sangat profesional, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk menebuk dinding serta melarikan barangan berharga di kedai yang menjadi sasaran mereka," kata Manoharan.

Isnin lepas, pemilik kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek Besut kerugian setengah juta ringgit selepas kedainya dipecah masuk perompak yang meloloskan diri melalui dinding yang ditebuk dari kedai barangan plastik bersebelahan.


Penjenayah berkenaan memasuki kedai barangan plastik itu melalui lubang sisip angin tandas sebelum melakukan kerja mengorek antara 8 malam hingga 2 pagi pada dinding belakang kedai berkenaan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...