Sabtu, 26 Februari 2011

13 wanita Vietnam diupah RM15,000 untuk hamil

Seramai 13 wanita Vietnam - tujuh daripadanya hamil - diselamatkan daripada tahanan sindiket menjual bayi di Thailand, kata pihak berkuasa semalam.

Menurut polis, wanita itu dijaga syarikat Baby 101 yang mengendalikan pesanan pasangan yang inginkan anak melalui e-mel atau ejen.

Dalam keadaan tertentu, kata jurucakap polis, Baby 101 menerima sperma daripada lelaki yang ingin mendapat zuriat untuk disenyawakan dengan wanita terbabit.
Menteri Kesihatan Awam Thailand, Jurin Laksanawisit, berkata aktiviti itu tidak berperikemanusiaan dan haram.

“Dalam sesetengah kes, nampaknya wanita terbabit dirogol,” katanya.

Wanita Vietnam itu - sesetengahnya ditawarkan wang bernilai beribu-ribu ringgit untuk setiap bayi yang dilahirkan - ditahan dalam dua rumah di Bangkok.

Pasport mereka juga dirampas sindiket terbabit.

Serbuan dilakukan selepas ada antara mangsa berjaya menghantar e-mel kepada Kedutaan Vietnam sebelum maklumat itu diserahkan kepada polis.

Timbalan Pengarah Imigresen Thailand, Manu Mekmok, berkata sembilan daripada wanita terbabit mengaku bekerja secara sukarela bagi mendapatkan upah RM15,300 bagi setiap bayi dilahirkan, manakala empat lagi tertipu.

Turut ditahan, empat warga Taiwan, seorang dari China dan tiga Myanmar, kerana disyaki bersubahat dalam aktiviti itu. Seorang wanita Taiwan berusia 35 tahun yang mengendalikan operasi Baby 101, turut didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia. - AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...