Sabtu, 26 Februari 2011

KRT Taman College Height berjaya catat sifar jenayah

SEREMBAN: Aktiviti rondaan malam yang dijalankan setiap hari secara bergilir-gilir oleh 15 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman College Height, Sikamat, di sini, bukan saja berjaya membebaskan taman itu daripada jenayah, malah mengikis imej sebagai ‘lubuk’ kegiatan tidak sihat.
Pengerusi KRT Taman College Height, Mohamad Taslim Khan Kutob Khan berkata, sejak pasukan SRS ditubuhkan awal tahun lalu, banyak kejadian mahupun kegiatan tidak bermoral dapat dibanteras hingga berjaya mencatatkan sifar jenayah.


Menurutnya, sebelum ini banyak kejadian tidak diingini berlaku di taman itu seperti kes ragut, pecah rumah, mencuri motosikal dan perjudian di premis siber kafe yang dilakukan oleh segelintir pihak yang dipercayai menjadi dalang terhadap kegiatan berkenaan.

“Berikutan keadaan membimbangkan, ia mendorong kami menubuhkan pasukan SRS bagi memantau tahap keselamatan penduduk dan akhirnya menerusi kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (Japnin) daerah, usaha kami berjaya.

“Kini sejak aktiviti rondaan ini dijalankan taman ini, secara tidak langsung berjaya mencatatkan sifar jenayah sekali gus seramai kira-kira 1,500 penduduk boleh menarik nafas lega kerana mereka tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan,” katanya.



Beliau ditemui selepas majlis perasmian serentak sambutan Tahun Baru Cina, perasmian pusat khidmat KRT, pelancaran motosikal SRS, penyampaian sumbangan pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta penyampaian sijil Combi, di sini, baru-baru ini.



Perasmian majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohamad Razi Kail. Turut hadir ialah Pengarah Japnin negeri, Abd Halim Hassan.


Sementara itu, Mohamad Razi pula berkata, kerajaan negeri sudah meminta kesemua 274 KRT di negeri berkenaan menubuhkan Unit SRS masing-masing bagi mengawal aspek keselamatan di penempatan masing-masing.


Beliau berkata, penubuhan SRS dilihat berkesan dalam usaha mengurangkan kes jenayah di kawasan perumahan sekali gus keselamatan penduduk terjamin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...