Jumaat, 18 Mac 2011

Dua peragut diberkas

PUCHONG – Demi cinta dan kasih kepada tunang tersayang, seorang lelaki sanggup dirempuh motosikal dinaiki dua suspek yang sebelum itu meragut beg tangan tunangnya itu. 

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam kelmarin itu, gadis berusia 18 tahun dikatakan menunggu tunangnya di hadapan rumahnya di Jalan 5, Taman Bukit Kuchai dekat sini sebelum didatangi dua suspek warga Myanmar. 

Suspek kemudian didakwa mengacukan pemutar skru ke arah muka mangsa sebeluu mengarahkannya menyerahkan beg tangan mengandungi sejumlah wang dan beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela)yang disandang. 

Mangsa yang enggan berbuat demikian sempat menarik beg tangannya itu namun suspek berjaya merentap dan terus melarikan diri menaiki sebuah motosikla jenis Honda EX5. 
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, kejadian itu bagaimanapun disedari tunang mangsa yang kebetulan menaiki motosikal menuju ke arah rumah tunangnya itu. 

“Suspek tidak bernasib baik kerana menghala ke arah jalan yang bertembung dengan laluan digunakan tunang mangsa. 

“Tanpa memikirkan keselamatan nyawanya sendiri, tunang mangsa terus menghalang suspek menggunakan motosikalnya sebelum dia dilanggar,” katanya kepada Sinar Harian. 

Abd Razak berkata, bunyi bising akibat pergelutan antara suspek dan tunang mangsa menyebabkan penduduk setempat keluar memberi bantuan. 

“Tunang mangsa berjaya mencekup salah seorang suspek manakala seorang lagi diberkas penduduk setempat. 

“Beg tangan yang diragut berjaya diperolehi semula namun mangsa mengalami kecederaan dan lebam di tubuh badan akibat pergelutan itu,”katanya orang awam kemudian menyerahkan kedua-duanya kepada pihak polis. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki tidak mempunyai pekerjaan tetap, seorang mempunyai pasport manakala seorang lagi pemegang kad pelarian UNHCR.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...