Jumaat, 18 Mac 2011

Tujuh ahli Geng Melor kena tangkap

JOHOR BAHRU – Seramai tujuh lelaki berusia 26 hingga 37 tahun yang terlibat dalam kegiatan pecah rumah secara berkumpulan dikenali sebagai Geng Melor berjaya ditangkap oleh sekumpulan anggota dari Balai Polis Tampoi diketuai ketua balainya, pada 14 Mac lalu. 

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya berjaya merampas lebih 40 jenis barangan dipercayai hasil pecah rumah, samun dan peralatan digunakan susulan daripada penangkapan kesemua lelaki terbabit. 
Menurutnya, kumpulan Geng Melor terlibat dalam kes pecah rumah, ragut dan samun di sekitar bandar raya ini malah penahanan kesemua lelaki itu berjaya menyelesaikan 21 kes jenayah berkenaan. 

“Barangan yang polis temui semula adalah 19 telefon bimbit, lapan parang dan pisau, empat jam tangan, 13 kasut, televisyen, LCD, Grinder, Drill, kamera, enam pemain video, bateri dengan kunci kereta, dua pemain kaset kereta, rekoder mini poket dan speaker. 

“Antara peralatan dirampas adalah empat tukul, mesin pemotong rumput, gunting, lima pemotong besi, lima sepana, enam alat pemotong dawai, kuku kambing, empat pemutar skru, dua pahat, dua gergaji besi, dua batang ‘Allan Key’, sepana ubah suai serta kereta jenis Mini Clubman yang dilaporkan hilang di Balai Polis Daerah Johor Bahru Selatan,” katanya. 

Jalaluddin berkata, semakan rekod oleh pihak mendapati enam daripada tujuh yang ditangkap mempunyai rekod kesalahan lalu melibatkan kes curi kenderaan, ditahan di bawah ordinan pencegahan jenayah dan dadah. 

“Kesemua suspek terbabit ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 20 Mac ini,” katanya. 

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkawan bersenjata) dan Seksyen 457 kanun yang sama (pecah rumah dan curi) di mana masing-masing boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun serta 14 tahun selain didenda atau sebatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...