Khamis, 3 Mac 2011

Kena tipu warga asing

LETCHUMY menunjukkan laporan polis terhadap  dua lelaki warga asing.
Orang ramai dinasihat usah percaya lagak baik, dakwa susah 


JOHOR BAHRU: Madu diberi, tuba yang dibalas! Budi baik seorang pengusaha dobi membenarkan dua warga asing menumpang tidur di premis niaganya sebagai tanda simpati kepada mereka yang mendakwa terkandas di bandar raya ini mengundang malang, apabila tetamu itu melarikan sebuah beg berisi barangan berharga miliknya.
Berikutan pengalaman pahit itu, pemilik LRV Dobi yang terletak di Jalan Lee Thee Ng di sini, S Letchumy, 49, tampil menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada jika menerima kehadiran orang asing yang mendakwa dalam kesusahan, supaya tidak menerima nasib malang seperti beliau.

Letchumy berkata, awal bulan ini, ketika berada di premis niaganya, beliau menerima kehadiran dua lelaki terbabit yang mendakwa ditipu ejen pekerjaan yang menyuruh mereka ke Johor, sejurus tiba di Kuala Lumpur dari India. 

Beliau berkata, dua lelaki terbabit kelihatan jujur dan tidak menimbulkan masalah sepanjang bermalam di kedainya, selain menyuruh beliau menyimpan pasport milik mereka di dalam laci meja pejabatnya. 

“Menampil perwatakan baik, mereka merayu diberikan tempat tidur sementara, kerana mendakwa tidak mempunyai wang mencukupi bagi menyewa hotel, sebaliknya diminta orang tempatan pergi ke sini berikutan ramai orang India yang boleh diminta tolong. 

“Jadi tanpa berfikir panjang, saya menumpangkan kedua-duanya kerana mereka mendakwa baru pertama kali sampai ke Johor dan sedang berusaha menghubungi ejen yang menawarkan pekerjaan," katanya yang juga seorang ejen pelancongan itu. 

Letchumy berkata, pada 4 Februari lalu, beliau dan keluarganya terpaksa bergegas pulang ke Sungai Petani, Kedah, untuk menguruskan kematian bapanya hingga tertinggal barangan berharganya dalam kabinet di kedai dobi. 

“Apabila menyedari tertinggal beg mengandungi komputer riba, enam cakera padat mengandungi maklumat sulit perniagaan serta deposit tunai milik beberapa pelanggan yang menyertai pakej pelancongan berjumlah RM4,800, saya menghubungi mereka supaya dapat menyimpan beg itu di tempat lebih selamat sepanjang ketiadaan saya. 

“Namun, apabila kembali dari Kedah pada 8 Februari lalu, mereka sudah menghilangkan diri bersama beg berisi pelbagai barangan terbabit. Saya tidak menyangka perkara ini berlaku kerana sepanjang tiga malam menumpangkan mereka tidur di premis perniagaan saya, mereka tidak menunjukkan tingkah laku yang mencurigakan," katanya. 

Letchumy berkata, sebelum membenarkan kedua-duanya menumpang tidur, beliau menghubungi keluarga isteri salah seorang lelaki terbabit di India bagi mendapatkan pengesahan, selain mengambil langkah keselamatan menyimpan pasport mereka di pejabat dan hanya diberikan kepada mereka ketika keluar dari kedainya bagi mengelakkan perkara tidak diingini. 

Katanya, beliau tidak menyangka kebaikannya mempercayai orang luar yang baru dikenali mengundang padah apabila dua lelaki itu bukan saja melarikan barangnya dan mengambil pasport yang disimpan dalam laci, tetapi selepas diperiksa dengan Jabatan Imigresen, mereka sebenarnya menggunakan permit palsu. 

Beliau berkata, usaha menghubungi dua lelaki terbabit juga mendapati talian telefon bimbit yang digunakan mereka sudah dimatikan dan tidak menghubungi anggota keluarga di India. 

“Berikutan kejadian itu, saya membuat laporan polis dan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada supaya tidak terpedaya dan menjadi mangsa warga asing yang mengambil kesempatan terhadap budi baik rakyat negara ini berbekalkan pasport dan permit kerja palsu," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...