Khamis, 3 Mac 2011

Polis Kelantan Tahan Tiga Lelaki Disyaki Terlibat Kes Bunuh, Rampas Sepucuk Pistol

Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes bunuh dan samun, serta merampas sepucuk pistol berserta peluru daripada mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng berkata Polis Cawangan Jenayah Berat menahan ketiga-tiga suspek berumur antara 23 hingga 30 tahun itu Jumaat lepas dalam satu serbuan di sebuah chalet di Perdana Resort, dekat Pantai Cahaya Bulan pada pukul 4.25 pagi.
Hasil pemeriksaan di chalet itu, polis menemui sepucuk pistol jenis .357 Magnum bersama enam butir peluru, katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata salah seorang daripada suspek itu merupakan orang yang sangat dikehendaki polis kerana banyak terbabit dalam kes jenayah berat di negeri ini sejak tiga tahun lepas.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960, bagi kesalahan memiliki senjata api dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api dan bagi kes memiliki peluru, katanya.

Lai berkata pada tahun ini sahaja seramai 11 lelaki telah ditahan kerana memiliki pelbagai jenis senjata api, termasuk senapang, pistol dan bom tiruan, dan kesemua mereka ditahan dalam serbuan polis di beberapa tempat iaitu di Rantau Panjang, Nilam Puri, Machang, Jeli, Kubang Kerian dan Bukit Bunga.

"Penahanan mereka membawa kepada penemuan tiga pucuk pistol yang kesemuanya berisi peluru hidup, tiga laras senapang angin, lima pucuk pistol tiruan dan dua biji bom tiruan," katanya.

Beliau berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960, Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Menyentuh mengenai kes jenayah di negeri ini, Lai berkata indeks jenayah di negeri ini secara keseluruhannya menurun terutama yang membabitkan kes jenayah curi kenderaan dan pecah rumah.

Kes jenayah di negeri ini sejak dua bulan pertama tahun ini mencatatkan 1,033 kes berbanding 1,144 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu, katanya.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kes curi motosikal dan pecah rumah paling banyak menunjukkan penurunan dan ia menunjukkan polis mencapai Prestasi Petunjuk Utama (KPI) bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) apabila mengurangkan kadar jenayah termasuk jenayah jalanan di negeri ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...