Ahad, 13 Mei 2012

Enam lagi perusuh perhimpunan haram Bersih ditahan


KUALA LUMPUR 10 Mei - Polis menahan enam lagi individu untuk membantu siasatan berhubung rusuhan yang berlaku ketika perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Penahanan ini menjadikan jumlah mereka yang ditahan sehingga hari ini ialah seramai 18 orang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, empat peserta yang ditahan berusia antara 23 hingga 43 tahun.

"Mereka ditahan di enam lokasi iaitu Sungai Petani, Kedah: Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Batu Pahat, Johor; Kota Damansara dan Shah Alam, Selangor serta seorang di Pasir Puteh, Kelantan.

"Kesemua peserta lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman memberi tempoh selama tujuh hari bermula semalam kepada peserta Bersih 3.0 yang gambar mereka disiarkan untuk menyerah diri atau akan diburu sehingga ke rumah masing-masing.

Peringatan itu dikeluarkan selepas polis berjaya mengenal pasti butir-butir peribadi individu berkenaan yang sebahagiannya dilaporkan oleh orang awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin menegaskan, polis telah memberi tempoh menyerah diri yang panjang kepada 141 individu termasuk 25 lagi yang terbaru dikeluarkan semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...