Ahad, 13 Mei 2012

Penjenayah Indonesia cedera ditembak


ALOR GAJAH 11 Mei - Tiga penjenayah Indonesia bukan sahaja gagal merompak rumah seorang petani malah dua daripada mereka cedera selepas ditembak dengan senapang patah oleh pemilik rumah itu di Pantai Belimbing, di sini awal pagi ini.

Kumpulan penjenayah ini dipercayai sering keluar masuk ke negara ini untuk melakukan jenayah pecah rumah tetapi kali ini mereka silap memilih mangsa.

Dua daripada penjenayah itu masing-masing cedera di perut dan kaki selepas terkena dua das tembakan daripada senapang patah yang dilepaskan pemilik rumah tersebut.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek sempat memapah rakannya yang cedera di perut melarikan diri manakala rakan penjenayah yang cedera di kaki berjaya diberkas polis.

Menceritakan detik-detik cemas itu, pemilik rumah iaitu Mohd. Shamir Fauzi, 28, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika dia, isteri dan anak lelaki berusia dua tahun tidur di bilik belakang rumah mereka.

"Tiba-tiba isteri mengejutkan saya dan memberitahu dia terdengar bunyi pelik di pintu bilik dan ternampak bayang seseorang," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Mengesyaki sesuatu, Mohd. Shamir lantas mencapai selaras senapang patah dan terus membuka pintu bilik sebelum terserempak seorang lelaki yang tidak dikenali berada dalam rumahnya.

"Lelaki itu juga terkejut melihat saya dan bertindak membaling pemotong besi yang dipegangnya sehingga mengenai kepala saya.

"Selepas itu, dia cuba menyerang tetapi saya sempat bertindak dengan melepaskan satu das tembakan yang mengenai kakinya menyebabkan dia terjatuh," katanya.

Katanya, dua lagi rakan penjenayah itu tiba-tiba muncul dan salah seorang daripada mereka mencapai kerusi dan basikal anaknya manakala rakannya pula bersenjatakan parang cuba menyerangnya.

"Saya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai salah seorang penjenayah di bahagian perut," katanya yang terus menghubungi polis selepas itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis yang tiba di tempat kejadian berjaya memberkas seorang daripada tiga penjenayah itu.

Katanya, suspek yang cedera akibat ditembak di kaki ditemui kira-kira 100 meter dari rumah mangsa dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Raja Shahrom berkata, dua penjenayah yang lain termasuk seorang yang cedera di perut bagaimanapun berjaya melarikan diri.

"Siasatan mendapati, suspek yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia 37 tahun dan memiliki pasport serta baru enam hari masuk ke negara ini," ujarnya.

Kata beliau lagi, polis sedang mengesan dua penjenayah itu yang dipercayai melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Toyota Unser berwarna jingga yang digunakan dalam kejadian itu.

Tambah beliau, semua mereka disyaki terlibat dalam lima kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...