Selasa, 22 Mei 2012

Khidmat guaman percuma


Image Detail
KUALA LUMPUR 19 Mei - Seorang peguam yang lantang menyuarakan penubuhan badan baru bagi menggantikan Majlis Peguam, hari ini menyatakan kesediaan untuk memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana anggota polis yang didakwa melakukan kekerasan ketika perhimpunan haram Bersih 3.0, April lalu.

Peguam berkenaan, Abu Backer Sidek berkata, khidmat itu bagi membela anggota polis berkenaan menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Menurutnya, kesediaannya itu adalah ekoran keputusan terburu-buru Majlis Peguam mengeluarkan resolusi menghentam dan meletakkan kesalahan kepada polis mengenai perhimpunan haram tersebut dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) majlis itu baru-baru ini.

''Majlis Peguam membuat resolusi yang berat sebelah kerana tidak mahu membela polis yang didakwa mengasari perusuh jalanan tetapi hanya memihak kepada perusuh yang menghentam polis. Majlis Peguam telah menjadikan polis sebagai sasaran menghentam kerajaan dan cubaan melagakan rakyat dan pasukan keselamatan supaya masyarakat membenci golongan tersebut.

''Justeru, saya dan bersama sebahagian peguam lain bersepakat menawarkan khidmat guaman percuma termasuk jaminan kepada anggota polis yang didakwa akibat provokasi perusuh jalanan. Kami turut menawarkan khidmat guaman sivil kepada anggota polis yang dikasari perusuh,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai dua anggota polis yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang jurugambar pada perhimpunan haram Bersih 3.0, 28 April lepas.

Lans Koperal Mohd. Khairul Asri Mohd. Sobri, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanjung Malim, Perak manakala Konstabel Shahrul Niza Abd. Jalil, 24, dari IPD Dang Wangi didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berpendapat, polis yang dikatakan mengasari peserta perhimpunan adalah akibat daripada tindakan peserta itu sendiri yang memaki hamun dan membuat provokasi terhadap pihak keselamatan itu ketika bertugas.

Ujarnya, maklumat lanjut mengenai tawaran khidmat guaman percuma itu akan disiarkan menerusi laman blognya, sila KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...