Khamis, 10 Mei 2012

TM guna sistem I-Watch kesan serta merta kecurian kabel


Image Detail
Telekom Malaysia (TM) mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kecurian kabel, termasuk penggunaan teknologi termaju, 'i-Watch' iaitu sistem pengesanan kecurian secara proaktif dan bermaklumat.

Pengerusinya Datuk Dr. Halim Shafie dalam satu kenyataan di sini berkata, "Ia (sistem itu) akan mengesan di mana dan bila saja kabel dipotong. Ia akan menggerakkan pejabat Operasi Rangkaian Wilayah (RNO) dan TM Sekuriti".   

Dr.Halim berkata kini terpasang 830 sistem i-Watch di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara. 

Beliau berkata pendekatan lain ialah melibatkan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Majlis Keselamatan Negara dan media massa.

"Kami turut mengarahkan petugas keselamatan kami melakukan rondaan di kawasan-kawasan di mana kecurian sering berlaku.  

"Kami juga bekerjasama dengan polis dan majlis-majlis tempatan menjalankan rondaan dan penangkapan" kata beliau.   

Pendekatan lain termasuk menanam kabel dan menawarkan sistem wayarles CDMA di kawasan sering berlaku kecurian kabel.  

Sementara itu, Dr Halim berkata, TM membelanjakan sejumlah RM439,789.35 untuk kerja-kerja pembaikan selepas 65 kes kecurian kabel dilaporkan dalam tempoh suku pertama tahun ini di Sarawak.    

Katanya, tahun lepas ia membelanjakan RM2.276 juta berikutan 523 kes kecurian.  

Pada 2010, terdapat 129 kes dengan TM membelanjakan RM454,880 untuk memperbetulkan keadaan.    -- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...