Isnin, 18 Jun 2012

Lagi mesin ATM dilarikan


Image Detail
KUALA LUMPUR 14 Jun - Sekumpulan empat penjenayah bertindak nekad menggunakan kabel yang diikat pada sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk menunda sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) sejauh lima meter dan melarikannya dengan lori kecil awal pagi ini.

Kejadian berlaku di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Subang Jaya, Selangor itu hanya disedari kakitangan syarikat tersebut pada pukul 6.15 pagi. Rompakan itu mengakibatkan kerugian RM47,900.

Insiden rompakan mesin ATM yang terbaru itu berlaku selang 20 hari selepas dua mesin ATM dipecah penjenayah dalam kejadian di Balakong, Kajang, dan Pantai Dalam, Brickfields, pada 25 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Tan Ah Chua berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan stesen tersebut mendapati empat suspek itu berusia antara 20 hingga 30-an.

"Sebelum menarik mesin ATM itu, kesemua suspek terlebih dahulu menyembur dua unit CCTV yang terletak di stesen itu dipercayai menggunakan cat.

"CCTV berjaya merakam wajah suspek walaupun pada mulanya mereka tunduk. Ketika kejadian mereka memakai topi keledar dan tidak menutup muka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ah Chua menjelaskan, stesen terbabit tidak mempunyai pengawal keselamatan setelah perkhidmatan pengawal berakhir awal bulan ini.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39 Kanun Keseksaan dan kita akan menyiasat sama ada suspek turut terlibat beberapa kejadian rompakan ATM di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...