Rabu, 27 Jun 2012

Pemilikan senjatapi haram adalah membimbangkan ???


Warga Singapura mati ditembak


JOHOR BAHRU 26 Jun - Seorang lelaki warga Singapura dipercayai pengedar dadah mati akibat ditembak sebanyak dua das di Blok E, Apartmen Tebrau Resident, Taman Desa Tebrau di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.45 malam itu, mangsa, Koh Teck Huat, 40, mati selepas cedera parah terkena dua das tembakan dengan salah satu daripadanya dipercayai mengenai mukanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, mangsa dipercayai diserang suspek semasa menuju ke keretanya.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebuah beg sandang berisi pelbagai jenis dadah pada mangsa. Suspek pula dipercayai melarikan diri menaiki kereta bernombor pendaftaran Singapura.

"Kita tidak menolak kemungkinan perebutan kawasan sebagai motif pembunuhan dan ada kaitan dengan pengedaran dadah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di apartmen yang didiami mangsa, polis menemui pelbagai jenis pil dan ketulan objek disyaki dadah.

Katanya, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 30-an yang dipercayai teman wanita mangsa yang menetap di apartmen itu.

"Wanita berkenaan kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi balai polis berdekatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...