Khamis, 14 Jun 2012

Pengusaha kedai besi buruk maut ditetak

Image Detail
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 12 Jun - Seorang pengusaha kedai besi buruk maut akibat ditetak oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di Taman Wilayah, Jinjang di sini petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.10 petang ketika mangsa yang berusia lingkungan 30-an bersama tiga pekerja berada di kedai besi miliknya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki yang memakai topeng tiba-tiba muncul di depan premis mangsa dengan menaiki empat buah kereta.

"Dianggarkan antara tiga hingga empat orang suspek yang bersenjatakan parang bertindak menyerang dan mengejar mangsa.

"Mangsa yang cuba melarikan diri sejurus selepas itu bagaimanapun berjaya ditangkap dan mengalami kecederaan parah apabila kepalanya ditetak suspek menggunakan senjata parang," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Tambahnya, selepas kesemua suspek melarikan diri, pekerja premis itu kemudian menghantar mangsa ke Hospital Selayang.

Bagaimanapun katanya, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan dan bedah siasat ke atas mangsa dijalankan pada hari ini.

Zakaria memberitahu, pekerja mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berjaya menyelamatkan diri ketika diserang kumpulan lelaki tersebut.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan serangan suspek bermotifkan dendam atau disebabkan persaingan dalam perniagaan.

"Susulan daripada maklumat yang diterima, polis setakat ini telah menahan seorang individu untuk membantu siasatan," katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...