Sabtu, 7 Julai 2012

Gengsterisme dalam PPR mula membiak ???


Kejadian bakar dan pecah kenderaan ini banyak berlaku pada waktu malam kerana tiada kawalan.
KUALA LUMPUR - Unsur gengsterisme dikenal pasti wujud dalam kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu kota apabila terdapat pihak luar yang tidak bertanggungjawab membuat kutipan caj bayaran kepada penduduk, kononnya untuk tujuan kawalan keselamatan.

Provokasi juga didakwa ditimbulkan kumpulan tersebut dengan merosakkan harta benda milik penghuni seperti kereta, bagi menunjukkan pentingnya kawalan keselamatan, seterusnya membuatkan penduduk tidak punya pilihan, membayar caj perkhidmatan yang tidak rasmi.

Malah, terdapat juga kes di mana pihak kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpr (DBKL) memasuki kawasan bagi pelaksanaan kerja, yang berhadapan dengan pihak tidak bertanggungjawab ini meminta bayaran kerana mendakwa kawasan tersebut milik mereka.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman berkata, situasi berkenaan menunjukkan perkembangan yang membimbangkan, lebih-lebih lagi ia melibatkan orang luar, bukannya penduduk dalam kawasan.

Menurutnya, pihaknya memandang berat isu berkenaan, kerana ia juga menyumbang kepada kes-kes jenayah lain, contohnya kes bakar kenderaan yang kerap berlaku kebelakangan ini.

“Kejadian merosakkan harta benda di kawasan PPR banyak berlaku pada waktu malam antara jam 12 tengah malam ke jam 7 pagi, jadi pada waktu itu, tiada kawalan dalam kawasan.

“Jadi, kekosongan pada waktu itu perlu diisi, kerana mereka yang tidak bertanggungjawab kini lebih tertumpu melakukan jenayah dalam kawasan PPR kerana jalan-jalan utama lain, di kawal polis peronda,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam usaha menanganinya beliau berkata, DBKL bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ditubuhkan di PPR, boleh menjalankan rondaan bersama namun dalam masa sama, kehadiran anggota peronda polis dalam kawasan PPR amat diperlukan.

Katanya, DBKL juga tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan kawasan PPR untuk rondaan polis, malah bersedia menyediakan unit khas untuk dijadikan pangkalan operasi anggota bertugas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...