Khamis, 26 Julai 2012

Kubur jadi sarang penagih


Kubur jadi sarang penagih Tidak pernah
ROMPIN - Tanah Perkuburan Islam Kampung Sepayang, di sini, terus menjadi pilihan pihak tidak bertanggungjawab sebagai 'port strategik' untuk menjalankan aktiviti jual beli dan penagihan dadah walaupun beberapa kali tangkapan dibuat pihak berkuasa.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Sepayang, Baharom Shaari berkata, pada minggu lalu, terdapat sebuah kereta dipercayai masuk ke tanah perkuburan itu menjual dadah kepada penagih.

Bagaimanapun katanya, kereta terbabit didapati meninggalkan kawasan itu segera sebelum dia sempat membuat laporan polis berhubung kegiatan tersebut.

“Pada minggu lalu, terdapat sebuah kenderaan mencurigakan berhenti di pondok wakaf di sini. Saya percaya mereka menjalankan urusan jual beli dadah dalam waktu singkat sebelum beredar dengan tergesa-gesa,” katanya.

Baharom berkata, ada dua tempat dipercayai menjadi lokasi utama kegiatan tersebut iaitu sebuah pokok berhampiran Sungai Kerpai Kampung Sepayang dan pondok wakaf terbabit.

“Dua lokasi ini menjadi pilihan untuk mereka menjalankan kegiatan tersebut sejak sekian lama meskipun sebelum ini terdapat beberapa tangkapan dibuat polis,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu juga menyebabkan peralatan menggali kubur turut dikebas pencuri.

“Biarpun kes kecurian peralatan menggali kubur pertama kali berlaku di sini, namun kita khuatir perkara itu akan mengundang lebih banyak perlakuan jenayah di sini,” katanya.

Justeru katanya, polis diminta kerap menjalankan pemantauan untuk memastikan kawasan terbabit tidak dicemari dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Kita minta polis melakukan rondaan dan operasi menahan serta menangkap pihak terbabit untuk memastikan tempat ini bebas daripada sarang penagihan dadah,” katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...