Khamis, 26 Julai 2012

Perjudian berkomputer semakin serius


KUANTAN: Kegiatan perjudian berkomputer di Pahang dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T. Narenasagaran berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, polis merampas 2,644 unit komputer bernilai RM2,219,308 yang telah diubahsuai menjadi mesin judi melibatkan 213 premis di seluruh negeri. 


"Polis Pahang telah mempertingkatkan pemantauan serta menjalankan operasi 'Ops Dadu' sepanjang masa. 

"Sepanjang 'Ops Dadu' yang dilakukan enam bulan lepas juga, seramai 1,256 individu ditahan selain wang tunai RM104,108 juga dirampas berbanding sepanjang tahun lalu, hanya 2,299 unit komputer bernilai RM1,871,600 dirampas dengan wang tunai RM32,400," katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Beliau berkata dalam serbuan ke atas 194 premis itu juga 981 individu dipercayai pengguna dan penjaga premis-premis yang menjalankan kegiatan perjudian Internet haram ditahan.


Katanya ada di antara premis tersebut telah beberapa kali diserbu namun tetap degil dan kembali beroperasi. 

"Kita telah meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik premis berkenaan dan Majlis Perbandaran Kuantan untuk membatalkan lesen perniagaan selain pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan pemotongan talian internet," katanya. 

Katanya dalam tempoh enam bulan ini juga sebanyak 163 permohonan dibuat kepada TNB dan MPK bagi tujuan pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen dan 161 permohonan kepada SKMM untuk pemotongan talian internet. 

"Berbanding sepanjang tahun lalu hanya 11 premis dibatalkan lesen perniagaan dan dipotong bekalan elektrik," katanya. 

Dalam pada itu, katanya pemilik premis yang menyewakan bangunan untuk tujuan menyalahi undang-undang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 manakala pemilik lesen perniagaan dan penjaga/pekerja boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 4B(a) ARJT 1953 atau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Sementara pemain dan pengguna boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1) ARJT 1953 selain itu kesemua yang terlibat juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Jenayah Komputer 1977, katanya. - Bernama



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...