Khamis, 23 Ogos 2012

Dibelasah samseng jalanan


GEORGETOWN - Gara-gara kemalangan kecil, seorang peniaga terpaksa mengalami saat menakutkan apabila dibelasah sekumpulan lelaki di sini kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.15 pagi itu dipercayai berpunca apabila kereta mangsa yang berusia 39 tahun dilanggar dari  arah belakang oleh sebuah kereta lain di  persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung  Tokong.

Kedua-dua pihak pada mulanya berbincang dengan baik dan bersetuju untuk membuat laporan polis namun  semasa mangsa sedang memandu di Jalan Tanjung Bungah menuju balai polis berhampiran, keretanya tiba-tiba dihalang sekumpulan lelaki bermotosikal.

Menurut sumber mangsa dipaksa keluar dari kenderaannya, namun disebabkan bimbang akan dicederakan dia tidak mengendahkan arahan kumpulan terbabit.

Berang melihat keengganan mangsa, kumpulan berkenaan terus memecahkan cermin depan dan tingkap kereta dengan menggunakan topi keledar serta batang kayu. Mangsa turut diheret keluar dan dibelasah sehingga mengalami kecederaan di bahagian bibir dan badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kong Meng berkata, seorang pemandu ambulans berusia  33 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen  427 Kanun Keseksaan kerana menggunakan  senjata berbahaya dan melakukan kerosakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...