Khamis, 23 Ogos 2012

Disamun ketika kutip sewa lori


Ahmad Termizi Abd Haq
IPOH – Seorang ahli perniagaan kerugian sejumlah RM5,000 apabila wang sewaan lori miliknya disamun tiga lelaki bertopeng berhampiran sebuah restoran di Kawasan Industri IGB, Kampung Tawas di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku ketika ahli perniagaan berusia 39 tahun berkenaan selesai mengutip wang sewa lori di kawasan industri terbabit.
Difahamkan, seorang anggota polis yang kebetulan berada di kawasan itu cuba menangkap suspek namun, satu das tembakan telah dilepaskannya dalam cubaan untuk meloloskan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, ketika kejadian seorang suspek wanita menunggu di dalam kereta manakala tiga yang lain cuba menyamun mangsa.
Menurutnya, kesemua suspek yang berusia 20-an menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Waja dengan nombor pendaftaran palsu.
“Ahli perniagaan itu menjadi sasaran suspek berikutan mangsa sering dilihat mengutip duit sewaan lori di kawasan dan masa yang sama setiap hari.
“Seorang anggota kita yang berada di restoran berhampiran menyaksikan kejadian tersebut telah cuba menangkap salah seorang suspek.
“Suspek kemudiannya mengeluarkan senjata api dan melepaskan sedas tembakan ke arah udara untuk tujuan meloloskan diri semasa dikejar anggota berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, polis sedang memburu kesemua suspek berdasarkan bentuk fizikal dan dipercayai telah terlibat dalam pelbagai kes samun sekitar  bandar raya ini.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta melaporkan di balai berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian hotline 05-2542222,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...