Selasa, 14 Ogos 2012

Maut dikelar rakan

Datuk Ku Chin Wah
Polis membawa keluar mayat mangsa dari pusat siber terbabit.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun ditemui mati dengan kesan kelar di leher, setelah dipercayai bergaduh dengan rakannya di sebuah pusat siber di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, kelmarin .
Sumber berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam dan mangsa bersama rakannya sebelum itu berada di sebuah lagi pusat siber yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa ditemui.
Menurutnya, pergaduhan yang berlaku di pusat siber berkenaan dipercayai mempunyai hubung kait dengan aktiviti perjudian dan hutang, membawa kepada tindakan rakan mangsa mengelar leher mangsa.
“Mangsa bagaimanapun berlari keluar dari pusat siber berkenaan dengan keadaan leher yang sudah dikelar dan menuju ke sebuah lagi pusat siber yang terletak kira-kira 100 meter dari situ.
“Dia mati di dalam pusat siber tersebut setelah mengalami pendarahan serius,” katanya.
Terdapat beberapa kesan titisan darah sepanjang jalan antara kedua-dua pusat siber berkenaan.
Difahamkan, mangsa yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNCHR) adalah suspek dikehendaki berhubung kes dadah.
Tiada sebarang senjata ditemui dan polis sedang memburu rakan mangsa bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...