Isnin, 13 Ogos 2012

Pengusaha restoran disamun kumpulan menyamar polis


Pengusaha restoran disamun kumpulan menyamar polis
TAPAH - Seorang pengusaha restoran bukan sahaja berdepan dengan detik-detik cemas malah mengalami kerugian sebanyak RM30,000 apabila disamun sekumpulan individu  menyamar di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Dupeti Superitenden, Abdullah Arshad berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu, kira-kira jam 4 petang di Simpang Bidor Tahan setelah mangsa menyelesaikan urusannya di salah sebuah bank di Bidor.

Katanya, mangsa berusia 58 tahun bersama-sama anak lelakinya berusia 20-an dalam perjalanan pulang, kemudian kenderaan mereka dihimpit dengan sebuah kereta jenis Nissan.

Menurutnya, kereta  yang dipandu mangsa diarah berhenti di tepi jalan oleh suspek dan mereka menuruti arahan berkenaan kerana menyangka suspek anggota polis.

Beliau berkata, setelah kereta mangsa berhenti, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an  memakai vest polis turun dan menghampiri mereka.

“Apabila suspek sampai di kereta mangsa, lelaki itu mengatakan dia adalah anggota polis dan mahu membuat pemeriksaan kononnya mendapat maklumat kenderaan yang dinaiki mangsa ada berkaitan dengan kes dadah.

“Pada mulanya, mangsa percaya dengan kata-kata suspek dan membiarkan empat rakan suspek membuat pemeriksaan ke atas kenderaannya,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah,  sini.

Hadir sama, Ketua Bahagian  Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah, Asisten Superitenden Md Nasri Fadzir.

Abdullah berkata, anak mangsa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lalu cuba menghubungi pihak polis tetapi dua ahli kumpulan itu bertindak mengeluarkan parang sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM30,000 yang baru sahaja dikeluarkan mangsa dan wang tunai RM5,000 daripada beg mangsa.

"Kenderaan penjenayah itu menggunakan nombor plat yang didaftarkan untuk kereta Iswara," katanya.

Justeru itu, pihaknya kini sedang giat memburu sekumpulan lima lelaki yang menyamar sebagai anggota polis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah menasihatkan orang ramai terutamanya di daerah berkenaan supaya berhati-hati apabila ditahan oleh individu yang memakai vest polis dengan menaiki  kereta persendirian.

“Untuk keselamatan, orang ramai  boleh terus pergi ke balai polis berdekatan jika berhadapan dengan situasi berkenaan.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh berhubung terus di hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS rakan Cops 32728 ataupun balai-balai polis berdekatan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...