Jumaat, 17 Ogos 2012

Penyamun tak lepas peluang cabul tetamu mangsa

Gambar hiasan

SEREMBAN – Sekumpulan penjenayah bukan sahaja menyamun sepasang suami isteri, malah turut mencabul dua tetamu pasangan terbabit dalam kejadian di Taman Mulia, Mantin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Rosli, 53, berkata, dia dan isterinya berusia 42 tahun sedang berurusan dengan dua wanita berusia 20-an daripada sebuah syarikat perumahan di ruang tamu rumahnya.

“Ketika kami berbincang, tiba-tiba muncul tiga lelaki bersenjatakan parang yang masuk melalui pintu hadapan.

“Semua lelaki terbabit menaiki tiga motosikal yang diletakkan di dalam kawasan rumah, manakala dua atau tiga motosikal  lagi dinaiki beberapa lelaki dilihat berkawal di luar rumah,” katanya, semalam.

Menurutnya, semua penjenayah mengarahkan mereka diam dan mengikut arahan.

“Suspek juga bertindak di luar batasan dengan mencabul tetamu kami selama beberapa minit, sementara seorang suspek menyepak muka saya sehingga berdarah hanya kerana memandang wajahnya,” katanya.

Rosli berkata, 10 minit kemudian, kumpulan berkenaan melarikan diri dengan menaiki beberapa buah motosikal.

“Saya kerugian ribuan ringgit apabila empat telefon bimbit, satu komputer riba, tiga bentuk cincin, wang tunai RM300 dan seutas jam tangan dilarikan penjenayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya giat mengesan semua suspek.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...