Jumaat, 17 Ogos 2012

Rumah Mewah dijadikan ‘gedung’ senjata oleh Warga Asing

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Bom tangan, pistol dan pedang samurai antara senjata serta bahan letupan milik sekumpulan penjenayah warga asing ditemui polis dalam serbuan di kediaman mewah mereka di Petaling Indah, di sini, Isnin lalu.

Kumpulan penjenayah terdiri daripada dua warga Singapura, seorang warga China dan seorang lagi Vietnam yang semuanya berusia 25 hingga 34 tahun itu dipercayai bukan saja menjalankan kegiatan pengedaran dadah, namun turut disyaki mendalangi jenayah pecah rumah dan kongsi gelap.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan jam 4.30 petang itu, selain senjata, polis merampas dadah jenis Ecstasy sebanyak 1,941 biji dan ketamin seberat 88.49 gram yang semuanya dianggarkan bernilai RM100,000.



“Ketika serbuan, dua lelaki dan dua perempuan berada dalam kondominium terbabit. Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barangan untuk aktiviti jenayah termasuk bom tangan, sepucuk pistol jenis Colt Magnum .22, 59 peluru hidup, parang panjang, komputer riba dan telefon bimbit.


“Siasatan awal mendapati, suspek memasuki Malaysia sejak sebulan lalu menggunakan pas pelancong dan menyewa kondominium berkenaan, namun kami masih menyiasat dan mengenal pasti pembabitan semua suspek dengan barangan yang dirampas,” katanya di sini, semalam.



Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut mendapati semua mereka positif dadah dan direman sehingga Ahad ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...