Isnin, 27 Ogos 2012

Terkejut jumpa rangka motorsikal


rangka motorsikal
KERIAN - Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke ladang kelapa sawit terkejut apabila menemui rangka motosikal dibuang di tepi sungai Taman Serai Jaya berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di sini, kelmarin.

Alias Ishak, 35, berkata, rangka berkenaan dipercayai masih baru berikutan awal pagi sebelumnya, dia terlihat kelibat empat lelaki berada di kawasan berkenaan ketika pulang dari kerja, kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, ketika itu, dia tidak mengesyaki apa-apa dan menyangka mereka datang untuk memancing haruan kerana kawasan sawah padi berhampiran sungai merupakan tempat popular untuk mendapatkan ikan berkenaan.

Bagaimanapun, dia yang mahukan kepastian terkejut menemui rangka motosikal itu pagi kelmarin ketika melalui kawasan terbabit sekitar jam 11 pagi.

“Saya memang melalui jalan ini setiap hari untuk ke ladang tetapi tidak pernah melihat rangka motosikal ini di sini, sehinggalah pagi tadi.

"Dahulunya, kawasan ini pernah menjadi tempat pembuangan sampah tetapi kini sudah dibersihkan pengurusan ladang," katanya kepada Sinar Harian.

Kata Alias, dia percaya rangka ini ditinggalkan kumpulan lelaki berkenaan. Jelasnya, kemungkinan mereka mencurinya di tempat lain dan datang ke sini untuk mengeluarkan bahagian yang boleh digunakan, kemudian, rangkanya  ditinggalkan.

"Sebelum ini, kawasan tali air berdekatan ladang itu dikatakan tempat kumpulan curi motosikal membuang rangka dan kini lokasi berkenaan pula dijadikan port baru mereka.

“Saya meminta kerjasama polis untuk memantau kawasan berkenaan kerana ia sunyi pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli Persatuan Sukarela Keselamatan Daerah Kerian yang ingin dikenali sebagai Ah Kim menegaskan pihaknya ada menerima aduan kehilangan motosikal jenis EX5 Dream dan didapati rangka kenderaan yang dijumpai adalah sama jenis yang dinyatakan pengadu.

“Berdasarkan maklumat, kami difahamkan motosikal itu milik seorang lelaki di Tanah Liat, Bukit Mertajam.

“Sehubungan itu, kami membawa perkara ini ke pengetahuan polis untuk siasatan lanjut dan bersedia bekerjasama untuk membendung masalah kecurian motosikal di daerah ini,” katanya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...