Selasa, 25 September 2012

Anggota Polis Mengaku Tidak Bersalah Menipu Dan Terima Rasuah


SEREMBAN: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan menipu dan dua tuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, membabitkan pemberian kerja menyelenggara beberapa kuarters kediaman, balai dan pondok polis di sekitar daerah Port Dickson, dekat sini, tiga tahun lalu.
Lans Koperal Zulkifli Mohamed, 49, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.
Zulkifli menghadapi enam pertuduhan menipu iaitu dengan curang memperdaya seorang ahli perniagaan Norzahri Hashim, 35, bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan itu yang keseluruhannya bernilai RM178,254.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza di sekitar Port Dickson pada tarikh yang sama iaitu 1 Oktober 2009.
Bagi keenam-enam pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dansebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Zulkifli juga didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah yang keseluruhannya berjumlah RM15,000 daripada Norzahri sebagai balasan dalam menguruskan untukmendapat kelulusan bagi kerja penyelenggaraan tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Taipan, Senawang di sini pada 27 Oktober 2009.
Bagi kedua-dua tuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 165 KanunKeseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda ataukedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin memohon mahkamahmembebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan menurut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Namun, Zulkifli yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan tidak mampu membayar jumlah keseluruhan ikat jamin tersebut kerana telah digantung tugas selain perlu menyara keluarga.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...