Ahad, 2 September 2012

Dibelasah lelaki mabuk


Dibelasah lelaki mabuk
PUCHONG – Bukan sahaja dia dituduh memecah masuk sebuah kedai runcit dan mencuri, seorang lelaki menghidap kemurungan turut dibelasah tanpa belas kasihan sebelum motosikal miliknya dibakar sekumpulan lelaki di Puchong Intan di sini.

Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, abang mangsa yang enggan identitinya didedahkan berkata, adiknya diperlakukan begitu oleh sekumpulan lelaki mabuk hanya kerana memandang mereka ketika memberhentikan motosikal di tepi jalan besar di sini.

Kata abang mangsa, ketika kejadian adiknya yang berusia 42 tahun baru sahaja pulang dari rumah kakak mereka menuju ke rumahnya tidak sampai lima kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, mangsa memberhentikan motosikal di tepi jalan utama kira-kira 50 meter dari premis komersil di kawasan itu.

Ketika adiknya masih duduk di atas motosikal, datang dua lelaki dalam keadaan mabuk bertanya mengapa mangsa memandang mereka sebelum bertindak meminta MyKad kepunyaannya.

Tidak membantah arahan itu, abang mangsa berkata, adiknya menuruti perintah lelaki terbabit sebelum dia ditumbuk beberapa kali di bahagian mulut.

Kedua-dua lelaki itu katanya kemudian membelasah adiknya, sehingga menyebabkan tiga gigi patah, kepala mengalami pendarahan dalaman dan tengkuk mengalami keretakan.

Menurutnya, adiknya memaklumkan tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana pengsan akibat diserang bertubi-tubi di bahagian kepala.

“Saksi yang nampak kejadian memberitahu saya, terlihat adik dikepung enam lelaki yang kemudian menghentak kepalanya dengan topi keledar.

“Kami sekeluarga hanya mengetahui perkara itu apabila dihubungi polis yang memberitahu adik mendapatkan rawatan kecemasan di hospital selepas kejadian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abang mangsa berkata, tidak cukup dengan itu, pihaknya kesal kumpulan lelaki terbabit dipercayai turut membakar motosikal adiknya yang ditinggalkan selepas dibawa ke hospital.

Katanya, yang membimbangkan keluarga selepas kejadian adiknya sukar berjalan dengan sempurna, terpaksa dipapah dan mengalami kesakitan serius di bahagian tengkuk.

Tambahnya, dia sekeluarga berasa sedih adiknya diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kumpulan lelaki terbabit hanya kerana mereka baru mengesyaki mangsa memecah masuk ke dalam kedai yang bukan juga milik mereka.

“Adik saya bukannya dicekup dalam kedai, dia berada jauh dari lokasi itu, tetapi kami kesal pihak itu mengambil tindakan sendiri menyebabkan adik saya menanggung kesakitan sehingga kini.

“Sekarang kerana bimbang keselamatan, adik saya tidak keluar dari rumah,” katanya yang menggesa polis menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pelaku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...