Ahad, 2 September 2012

Kerajaan Negeri nafi gejala sosial Kelantan serius


KOTA BHARU - Kerajaan Negeri menafikan dakwaan bahawa gejala sosial dan jenayah yang berlaku sejak akhir-akhir ini termasuk kejadian samun serta tetak semakin serius di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob bagaimanapun berkata, pihak tertentu tidak boleh mengatakan gejala sosial di negeri ini semakin parah kerana berdasarkan laporan selama ini statistik menunjukkan kenaikan dan penurunan.

Menurutnya, jenayah sentiasa berlaku tanpa disedari dan penjenayah akan menggunakan peluang yang ada untuk melakukannya tanpa mengira kasihan belas.

“Jenayah yang berlaku ini juga ekoran tidak ada kefahaman tentang hidup dalam Islam, tidak kira di mana sahaja kita berada terutamanya di Kelantan dan Terengganu ada yang tidak memahami tuntutan agama,” katanya kepada media semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menyifatkan kejadian ragut dan tetak menimpa Rohairani Abdullah, 36, hingga hampir putus tangan kiri dalam kejadian di Jalan Sultanah Zainab, di sini Rabu lalu adalah isyarat jelas gejala sosial di negeri ini semakin parah.

Terdahulu Ahmad menyempurnakan Perbarisan Sempena Sambutan Ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 peringkat negeri Kelantan di Padang Perdana, semalam.

Dalam pada itu, ditanya mengenai desakan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan hudud dilaksanakan berikutan kes tersebut beliau menjelaskan pelaksanaan undang-undang syariah itu masih dalam perbincangan.

“Bagi kita, umat Islam mahu melihat pelaksanaan hukum hudud ini dilakukan secepat mungkin.

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud menjelaskan, pihaknya akan mengadakan mesyuarat meja bulat dalam jangka masa terdekat bagi membincangkan semua bidang yang berkaitan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...