Rabu, 26 September 2012

Jenayah: PDRM Perlu Lakukan Lebih Dari Sekadar Tunjuk Statistik - MCPF


BANYAK KES-KES TERPENCIL TIDAK DISIASAT ATAU HANYA UNTUK MENJAGA STATISTIK JENAYAH INDEK SETIAP BULAN ???
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan lebih dari sekadar menunjukkan statistik dalam isu keselamatan awam, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata ini kerana pemerhatian umum mendapati masyarakat yang menyandarkan persepsi mereka kepada kehidupan seharian, masih ragu-ragu bahawa kes jenayah menurun seperti yang dilapor PDRM.

"Bagi tempoh dua tahun lepas, secara keseluruhan polis mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam menurunkan kadar jenayah, namun statistik yang diberi polis dan pihak berkuasa tidak cukup untuk meyakinkan masyarakat," katanya kepada Bernama, di sini.

Usaha memerangi jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sejak 2010 menunjukkan kadar jenayah di negara ini menurun kepada 11.1 peratus pada 2011 sementara jenayah jalanan pula berkurangan sebanyak 40 peratus.

Statistik PDRM juga mencatatkan untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, kes jenayah keganasan menurun kepada 12,294 kes berbanding 12,446 bagi tempoh sama tahun lepas, sementara jenayah harta benda pula berkurang daripada 9,287 kepada 9,252.

Usaha Malaysia mengurangkan jenayah mendapat pengiktirafan badan dunia termasuk World Justice Project yang meletakkan Malaysia sebagai negara kelas pertengahan atas ke-19 paling selamat di dunia dalam Rule of Law Index 2011.-- BERNAMA 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...