Sabtu, 15 September 2012

Mati diikat, dibunuh perompak

ANGGOTA polis mengangkat mayat Peck Lan yang ditemui mati dalam keadaan terikat di dalam bilik rumahnya
di Pelabuhan Klang kelmarin.

PELABUHAN KLANG – Seorang adik yang pergi ke rumah kakaknya selepas risau mengenai wanita itu yang tidak menjawab panggilan telefon terkejut apabila mendapati mangsa dibunuh perompak dalam kejadian di sebuah rumah teres setingkat di Jalan Seroja di sini kelmarin.
Mayat Lim Peck Lan (gambar kecil), 65, ditemui pada pukul 6.30 petang dalam keadaan mulut, tangan dan kakinya diikat menggunakan pita pelekat di dalam bilik belakang rumahnya.
Difahamkan, adik perempuan mangsa yang tinggal berhampiran terus pergi ke rumah kakaknya yang menetap bersendirian selepas dua panggilan telefon yang dibuatnya pada pukul 2.30 dan 3.30 petang tidak dijawab mangsa. Kali terakhir mangsa dilihat ialah enam jam sebelum itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan Perundangan) Selangor, Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, selain diikat, mulut mangsa turut berdarah namun tiada kesan tikaman dan kecederaan lain ditemui.
“Siasatan percaya mangsa telah dibunuh oleh penjenayah yang menceroboh rumahnya melalui pintu belakang berdasarkan kesan umpil.
“Rumah mangsa berselerak dan pemeriksaan mendapati kad pengenalan dan telefon bimbitnya lesap,” katanya.
Tambahnya, mayat wanita terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, mangsa seorang yang baik dan pernah menyelamatkan nyawanya ketika dia diserang penjenayah baru-baru ini.
“Jeritan mangsa telah membuatkan lelaki yang tidak dikenali itu lari selepas menetak tangan dan kaki saya dengan parang,” ceritanya.
Difahamkan, mangsa ada memelihara dua ekor anjing dan ketika kejadian, kedua-dua ekor haiwan berkenaan dikatakan telah hilang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...