Isnin, 24 September 2012

Tindakan pantas ibu muda daripada diserang penyamun


TAMPIN – Tindakan pantas seorang ibu muda menolak seorang penyamun bersenjatakan sebilah parah sambil meminta tolong berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa samun ketika dalam perjalanan pulang ke Taman Rasa Sayang, dekat sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, ibu muda berusia 20-an yang sedang mengandung itu cedera ringan di bahagian tangan sebelah kiri semasa mengelak ditetak dengan sebilah parang oleh dua lelaki India dalam cubaan menyamunnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika kejadian mangsa berjalan kaki seorang diri ke kediamannya di taman berdekatan setelah selesai membeli barang di bandar Tampin.

“Mangsa secara tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal yang mana salah seorang daripadanya bersenjatakan sebilah parah. Suspek yang memegang parang turun dan cuba meragut barang kemas mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa yang menyedari dirinya diancam dengan pantas menolak suspek dan menjerit meminta tolong. Tindakannya itu berjaya menakutkan penyamun berkenaan dan suspek melarikan diri ke arah Bandar Tampin,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Kooi Cheang berkata, beliau kesal berikutan kes berkenaan, ada pihak menyebarkan khabar angin menyatakan seorang wanita diserang oleh kumpulan mangsa yang terbunuh dalam peristiwa mati ditetak dalam serangan di Taman Bukit Tampin pada malam Rabu lalu untuk membalas dendam.

“Kita nasihatkan orang ramai khususnya kaum India supaya tidak mempercayai khabar angin berkenaan dan berharap agar mana-mana pihak untuk tidak mengambil tindakan sesuka hati.

Menurutnya, perbuatan berkenaan bakal menimbulkan keadaan tidak tenteram terutamanya di taman perumahan yang majoritinya didiami kaum India.

“Sehubungan itu, kita minta orang ramai yang ternampak kereta atau penunggang motosikal yang mencurigai boleh menghubungi di talian 06-4411221 atau 06-4411222 supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...