Isnin, 8 Oktober 2012

Cubaan samun wang zakat gagal


Ilyas (kiri) dan Mohd Riyad menunjukkan pintu peti besi yang dikopek penjenayah selain pintu turut d
SUNGAI PETANI – Cubaan sekumpulan penyamun untuk mendapatkan wang hasil kutipan zakat milik Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda gagal apabila peti besi yang cuba diumpil kosong kerana kakitangan terlebih dahulu memasukkan wang berkenaan di bank sebelum kejadian.

Dalam kejadian 10 malam Selasa lalu, kumpulan penjenayah dipercayai masuk melalui bumbung sebelum menyelinap ke Pejabat Kemas Daerah Kuala Muda melalui tingkap dan terus mengumpil pintu Pejabat Zakat yang terletak bersebelahan antara satu sama lain.

Pembantu Pegawai Zakat, Ilyas Ibrahim berkata, kejadian hanya disedari pegawai dan kakitangan sebaik datang ke pejabat seperti biasa keesokan hari.

“Apabila sampai, kami dapati pejabat dalam keadaan berselerakan, pintu diumpil, peti besi dibuka, laci setiap meja diselongkar termasuk di bahagian dapur turut dicerobohi,” katanya kepada Sinar Harian.

Ilyas berkata, penyamun dikatakan menghabiskan masa yang panjang untuk membuka peti besi berdasarkan bunyi bising ketukan yang didengari penduduk sekitar termasuk kesan makanan dan minuman yang bersepah dikerjakan mereka dalam kedua-dua pejabat.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam. Penyamun juga licik apabila tidak usik pintu jeriji besi di tingkat bawah sedangkan mereka masuk dan keluar melalui tingkap tengah dan belakang,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Tadbir Pejabat Zakat Kuala Muda, Mohd Riyad Mat Tahir berkata, walaupun peti besi tidak mempunyai wang, tetapi suspek sempat melarikan modem, kipas, jam cenderahati berharga, duit tabung kakitangan serta wang tunai kakitangan.

Selain itu, Penyelia Pembangunan Desa Kemas Kuala Muda, Roslan Che Azmi berkata, sejak berpuluh tahun Pejabat Kemas yang terletak di Bakar Arang itu dibuka, ini merupakan kejadian pertama dipecah masuk.

“Dua komputer riba, wang tunai RM400, jam tangan dan beg tangan milik kakitangan yang ditinggalkan di pejabat dikebas penjenayah.

“Bukan itu sahaja, malah kek, minuman teh herba dan biskut yang diletakkan di dapur dan peti sejuk habis dimakan suspek,” katanya.

Difahamkan, ketiadaan pengawal keselamatan bertugas, tiada bunyi penggera keselamatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua pejabat memudahkan ia dipecah masuk.

Bagaimanapun, katanya, laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu namun kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kes terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...