Isnin, 8 Oktober 2012

Kerani cedera parah ditetak warga Indonesia


PONTIAN 5 Okt. - Seorang kerani sebuah bank di sini cedera parah selepas ditetak di beberapa anggota badan oleh seorang lelaki yang dipercayai anak angkat kepada bapa mangsa di Jalan Parit Masjid di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin berkata, dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa, Dzolkipli Othman, 51, dikatakan berjumpa dengan suspek warganegara Indonesia berusia 52 tahun.

“Suspek sebelum itu pergi ke tempat kerja mangsa, namun kerana terlalu sibuk, mangsa bersetuju akan berjumpa suspek di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, dalam pertemuan tersebut, berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditetak di muka, bahu dan tangan dengan sebilah parang yang diletakkan di dalam bakul motosikal," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zahaliman, pihaknya yang menjalankan siasatan pergi ke rumah suspek, kira-kira 100 meter dan tempat kejadian namun suspek telah melarikan diri bersama isteri dan seorang anaknya.

Katanya, motif sebenar kejadian masih disiasat dan pihaknya kini sedang giat memburu suspek.

“Mangsa yang kritikal kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Norzihani Mahmud, 48, ketika ditemui di HSA memberitahu, suaminya ada menghubunginya dan memaklumkan mahu berjumpa dengan suspek.

“Kami dan suspek pernah hidup berjiran di Kampung Parit Masjid sebelum suspek berpindah ke Lorong Lee Pee sejak lima tahun lalu. Saya sendiri curiga ketika suami beritahu mahu berjumpa dengannya kerana sudah enam bulan kami sekeluarga tidak berjumpa dengannya, tak sangka lain pula yang berlaku," katanya.

Difahamkan, suspek yang berasal dari Pemalang, Indonesia, merupakan anak angkat kepada bapa mangsa dan mempunyai tiga isteri selain pernah bekerja menjaga kebun milik keluarga mangsa kira-kira tiga tahun lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...