Khamis, 18 Oktober 2012

Hebat - samun dalam bas

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: “Saya diacu parang sebelum diarah menyerahkan wang dan telefon bimbit,” kata Nurhidayah Muhammad, 23, mangsa samun dua lelaki dalam bas awam di ibu kota, baru-baru ini.

Menceritakan semula detik cemas itu, Nurhidayah yang bekerja sebagai operator telefon berkata, dia menaiki bas berkenaan untuk pulang ke rumahnya di Setapak sebaik tamat kerja, kira-kira jam 8 malam. Menurutnya, ketika kejadian bas berkenaan berhenti di Masjid Jamek, di sini, apabila tiba-tiba dua lelaki meluru masuk ke dalam kenderaan awam itu dan menuju ke arahnya.


“Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu apabila seorang daripada lelaki terbabit mengugut mahu menikam saya jika melawan. “Saya diarahkan duduk dan mengeluarkan segala barang yang ada dalam beg tangan sambil diacu parang. Dalam keadaan panik, saya terpaksa menyerahkan wang RM200 dan telefon bimbit kepada lelaki itu,” katanya.



Katanya, bukan dia seorang saja yang disamun penjenayah terbabit, malah seorang lagi penumpang lelaki warga asing yang duduk di sebelahnya turut menjadi mangsa.


“Namun, penumpang warga asing itu enggan menurut arahan lelaki terbabit supaya menyerahkan wang dan barangan berharga mengakibatkan dia dibelasah.



“Kejadian ini turut disaksikan pemandu dan penumpang lain, tetapi mereka tidak berani membantu kerana bimbang turut menerima nasib sama.,” katanya. Nurhidayah berkata, ketika seorang lelaki terbabit menyamunnya dan penumpang warga asing itu, rakannya pula mengawasi keadaan dengan berkawal di bahagian tempat duduk penumpang belakang.




“Kedua-duanya tidak mengganggu penumpang lain dan terus melarikan diri selepas memperoleh wang daripada saya.


“Akibat kejadian itu, saya mengalami trauma untuk menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi sejurus kejadian.



Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...