Rabu, 17 Oktober 2012

JENAYAH DI KOTA BHARU SEMAKIN MEMBIMBANGKAN ???


Peniaga Cedera Parah Ditembak Di Stesen Minyak Kota Bharu
KOTA BHARU: Seorang peniaga cedera parah ditembak seorang lelaki yang tidak dikenali ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Samnuan, 21, keturunan Siam berasal dari Pasir Pekan, Wakaf Baharu, Tumpat cedera di bahagian kepala dan lengan kanan, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pada masa kejadian kira-kira 7.35 malam, peniaga terbabit sedang mengisi minyak di stesen minyak itu, bersama seorang wanita dikenali sebagai Lee Win Dee, 20, berasal dari Bachok, katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini Selasa.
Beliau berkata, tiba-tiba seorang elaki memasuki kereta peniaga itu dan menyebabkan wanita yang berada di dalam kereta itu keluar melarikan diri.
Jalaluddin berkata, melihat keadaan itu, peniaga itu cuba membantu dan suspekmenembaknya dengan tiga das mengenai kepala dan lengan kanannya sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan memandu kereta mangsa, dan polis yang melancarkan gerakan memburu kemudiannya menahan dua suspek berumur 22 dan 25 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes tersebut.
Kedua-dua suspek itu ditahan setelah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai dicuri di Pahang telah melanggar tiga kenderaan lain di Lundang di sini ketika dikejar sebelum ditembak polis di bahagian bumper belakang, katanya.
"Suspek berumur 25 tahun berasal dari Kampung Kelar, Pasir Mas dan seorang lagi dari Felcra Sungai Temau, Kuala Lipis Pahang, dan kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dan menambah, kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari mulai Selasa bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang membawa lari kereta peniaga itu, seorang lelaki berumur 38 tahun dari Pasir Mas.
Beliau berkata, siasatan mendapati kes itu dipercayai melibatkan hutang dadah, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Hukuman Lebih Berat 1971 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...